Ops Pantau: Kpdn Catat Nilai Rampasan Lebih Setengah Juta Ringgit
PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan nilai rampasan berjumlah RM558,956 atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Pantau 2024 di seluruh negara sejak 12 Mac hingga semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia adalah hasil pemeriksaan terhadap 38,126 premis melibatkan bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.
“Sebanyak 1,216 aduan diterima daripada pengguna bagi tempoh sama melibatkan pelbagai kategori aduan.
“Antara kesalahan diambil tindakan ialah kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barang tiruan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) Bahagian Penguat Kuasa KPDN di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan Ops Pantau digerakkan sepenuhnya melalui Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu (IEMS) bagi membolehkan tindakan susulan pantas dan berkesan dilaksanakan.
Armizan berkata IEMS diguna pakai sepenuhnya di seluruh negara awal tahun ini setelah melalui proses pembangunan fasa dua melibatkan penaiktarafan kaedah pemeriksaaan dan pengkompaunan.
Beliau berkata proses penaiktarafan turut meliputi modul kawalan selia harga dan bekalan, harta intelek, pengurusan penguatkuasaan dan aplikasi mudah alih bagi kegunaan operasi pegawai penguat kuasa menerusi telefon bimbit, tablet, komputer riba serta pencetak.
Menurutnya, proses penaiktarafan itu membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan menggunakan konsep 5P iaitu perisikan, pemeriksaan, penyiasatan, pendakwaan dan pengurusan ekshibit.
“Sistem ini akan terus ditambah baik menjelang 2026 bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dapat dijalankan secara pantas menggunakan kaedah penguatkuasaan secara digital.
“Aduan direkodkan secara masa nyata maka tiada istilah kompaun boleh dibatalkan oleh pegawai penguat kuasa KPDN yang berada di lapangan,” katanya.
Mengenai ECC, Armizan berkata pusat arahan itu akan beroperasi seperti biasa pada cuti umum Hari Raya bagi memastikan tugas penguatkuasaan dan pemantauan diteruskan.
“Fokus utama adalah memastikan keberadaan bekalan barang dan kestabilan harga barangan keperluan sepanjang musim perayaan ini,” katanya.
ECC di ibu pejabat KPDN beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 8 malam manakala ECC di pejabat KPDN negeri beroperasi 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Mengulas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua menteri turun padang bagi meninjau harga dan kuantiti barangan dijual di pasaran, Armizan berkata ia menggambarkan komitmen Kerajaan Perpaduan bagi menangani isu harga dan bekalan barang keperluan yang dihadapi rakyat khususnya menjelang musim perayaan.
“Kita tahu semua pemimpin sentiasa turun padang, namun PM (Perdana Menteri) mahu semua (pemimpin) turun padang dan melihat kepada aspek bekalan dan harga.
“Jadi, ini menggambarkan bukan hanya beliau sendiri sahaja yang turun ke bazar Ramadan dan sebagainya, tetapi arahkan juga semua menteri Kabinet untuk berbuat demikian,” katanya.
Rabu lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Anwar telah mengarahkan semua menteri agar turun padang untuk melihat sendiri keadaan semasa termasuk isu berkaitan harga dan kuantiti barang keperluan di pasaran menjelang sambutan Aidilfitri, susulan maklum balas diterima dalam beberapa siri program.
-- BERNAMA