Operasi Kahb Ditamatkan Selepas Tidak Berdaya Maju - Sanusi
ALOR SETAR, 6 April (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata operasi syarikat Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB), telah ditamatkan setelah didapati tidak berdaya maju.
Beliau berkata anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah itu bagaimanapun tidak boleh ditutup sepenuhnya, kerana masih mempunyai aset dan hutang yang ditanggung.
“Saya sudah lama memaklumkan bahawa syarikat itu tidak berdaya maju, penamatan operasi perlu dilakukan, walaupun sudah terlewat, ia perlu dilakukan juga.
“Syarikat itu bukan ditutup, tapi ditamatkan operasi, masih lagi ada aset, liabiliti serta hutang dan sebab itu ia tidak boleh ditutup,” katanya ketika ditemui selepas hadir Program Cahaya Ramadan anjuran Yayasan TM di Kompleks Pekan Rabu, di sini hari ini.
Muhammad Sanusi juga berkata syarikat tersebut menanggung beban hutang yang besar, sehingga tidak berupaya untuk 'melangkah'.
Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri tidak akan menyelamatkan syarikat tersebut, kerana ia bertentangan dengan polisi kerajaan negeri sedia ada.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 24 kakitangan KAHB tidak menerima bayaran gaji sejak tujuh hingga sembilan bulan lalu.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong baru-baru ini pula dilaporkan berkata KAHB telah memberi jaminan akan membayar gaji tertunggak kira-kira RM560,000 kepada 24 pekerja sebelum sambutan Aidilfitri ini.
-- BERNAMA