Orang Ramai Ambil Peluang Berbuka Di Iftar@kl Sebelum Pulang Ke Kampung
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Orang ramai tidak melepaskan peluang berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Merdeka dalam program Iftar@KL pada hujung minggu terakhir Ramadan ini, sebelum pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.
Siti Nor Aliya Ahmad Muhri, 30, berkata dia ingin menikmati pelbagai hidangan yang dijual pada program itu, kemudian akan bertolak balik ke kampung di Pulau Pinang tengah malam ini.
"Sebelum menempuh aliran trafik yang mungkin agak sesak ketika ini, saya singgahlah di Iftar@KL, makanan di sini pun sedap, tak pernah mengecewakan," kata kerani sebuah syarikat swasta itu ketika ditemui Bernama.
Seorang jurutera, Muhammad Daud Mohd Izman, 39, berkata Iftar@KL merupakan acara tahunan yang digemarinya kerana menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa.
“Saya sertai Iftar@KL pada setiap kali penganjurannya kerana program ini luar biasa. Bukan setiap hari kita tengok orang ramai berkumpul macam ini untuk berbuka puasa, pada bulan Ramadan sahaja," katanya.
Suri rumah Baizura Bakri, 50, juga teruja dapat berbuka puasa bersama keluarga di Iftar@KL selepas selesai membeli kelengkapan hari raya di pusat beli-belah berdekatan.
Iftar@KL yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pusat Pelancongan Islam dan Persatuan Seni Budaya Putra, menyediakan 35 talam juadah berbuka puasa untuk pengunjung.
Sejak diperkenalkan pada 2012, Iftar@KL kali ke-12 tahun ini berlangsung selama enam hari iaitu pada 23, 24, 30, 31 Mac serta 6 April dan esok merupakan hari terakhir penganjurannya.
-- BERNAMA