SYAWAL BULAN PERPADUAN

08/04/2024 10:16 AM
By :
Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff

Syawal adalah bulan yang penuh dengan keistimewaan yang tersendiri. Setelah berlalunya bulan Ramadan yang penuh dengan penyucian rohani, umat Islam meraikan kemenangan dengan kegembiraan dan kesyukuran.

Umat Islam bergembira dalam meraikan Syawal ini yang hadir selepas berjaya mengharungi ujian dan pengorbanan sepanjang Ramadan. Sebagai seorang manusia yang bertakwa, kegembiraan ini perlulah direalisasikan dengan adab Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.  

Allah SWT melarang sama sekali kita bersikap sombong dan merasakan kita adalah orang yang terpaling baik. Momentum pembelajaran madrasah Ramadan harus dikekalkan dan dijaga oleh setiap umat Islam di bulan syawal. Mudah-mudahan kita akan menjadi seorang yang bersyukur dan tidak tergolong dalam golongan orang yang dimurkai Allah SWT. Kesan daripada sifat-sifat yang terpuji dari keperibadian seorang hamba yang bersyukur akan mencetuskan Interaksi sosial yang berlaku antara masyarakat. Allah SWT berfirman yang bermaksud :“(maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). (Surah Al-Najm: 32)

Islam turut mementingkan hubungan sesama manusia terutamanya ketika berada di bulan Syawal. Al-Quran menegaskan hubungan sesama manusia itu adalah berkonsepkan sebuah keluarga besar. Allah SWT berfirman yang bermaksud :“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu (Adam AS), dan daripada (Adam) itu Allah menciptakan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang memkembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-yebutkan nama-Nya, serta (peliharalah) hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

Kesan tarbiyah di bulan Ramadan telah mendidik jiwa supaya sentiasa bersyukur dan  memahami nilai-nilai yang terpuji dengan membuang sifat-sifat yang tercela, tiada hasad, dengki dan iri hati kecuali bersangka baik sesama kita, sahabat handai dan jiran tetangga, mengambil berat dan bantu membantu walaupun tidak diminta.

 

Hubungan Silaturrahim

Bulan Syawal sangat sinonim dengan aktiviti silaturrahim dan kunjung mengujung yang menjadi tonggak kepada perpaduan sejagat dan asas kemanusiaan. Manusia yang diciptakan Allah SWT sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi mesti hidup bermasyarakat walaupun mereka pelbagai bangsa, agama dan budaya yang berbeza, namun mereka tetap bersatu atas konsep kemanusiaan. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakkan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.’ (Surah al-Baqarah: 30)

Nilai kasih sayang dan prihatin sesama insan adalah tunjang kepada pembentukan hubungan silaturrahim yang utuh. Manakala amalan menghubungkan silaturrahim tanpa mengira sesiapa sudah menjadi  budaya di bulan syawal bagi masyarakat Islam di Malaysia, malahan aura Syawal sangat terserlah di mana mereka menggunakan sepenuhnya peluang masa yang ada di bulan Syawal dengan aktiviti berkunjung dan menziarahi di atara satu sama lain untuk mengeratkan hubungan tanpa mengira sesiapa. Inilah perpaduan yang dilihat pada bulan Syawal. Keadaan ini merupakan satu perkara yang perlu dipuji dan disemarakkan agar hubungan kita sesama manusia terus erat dan berkekalan. Bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara." (Hadis riwayat Muslim)

Di antara amalan dan tradisi di bulan Syawal ialah mengeratkan hubungan silaturrahim yang telah wujud, ia adalah waktu yang sesuai untuk kita kembali mengukuhkan pertalian keluarga, membina hubungan mesra serta bermaaf-ma­afan. Menziarahi dan memuliakan tetamu, ia adalah tuntutan yang dianjurkan oleh baginda Nabi SAW. Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menyuburkan perpaduan di bulan Syawal antaranya:

1. Ziarah Menziarahi

Ziarah menziarahi di antara satu sama lain adalah suruhan Nabi SAW yang mempunyai banyak hikmah dan manfaat kepada masyarakat terutamanya di bulan Syawal. Ia boleh mengeratkan hubungan di antara satu sama lain, saling kenal-mengenali antara satu sama lain, hormat-menghormati dan sebagainya, ia juga akan memberi kesan dalam pergaulan dan persefahaman dalam masyarakat. Ziarah dalam Islam terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu ziarah wajib seperti menziarahi kedua ibubapa dan ziarah yang digalakkan seperti menziarahi jiran, kawan dan sebagainya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah ﷺ bersabda, "Sesiapa yang menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya semata-mata kerana Allah SWT, maka penyeru (dari kalangan Malaikat akan menyeru. hidupmu sangat mulia dan perjalananmu pun sangat mulia serta engkau telah menempah sebuah tempat di syurga."(Riwayat al-Tirmizi).

Amalan menziarahi antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan kaum adalah satu ibadah yang boleh mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT. Amalan ini adalah asas kepada perpaduan yang tidak sepatutnya diabaikan di bulan Syawal.

2. Bersedekah

Antara kelebihan yang paling besar dan memberikan kesan kepada hubungan jiwa manusia ialah bersedekah, ia juga merupakan amalan yang sangat dituntut oleh Allah SWT. Sedekah juga boleh mengeratkan hubungan sesama manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: " Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, tetapi hendaklah mereka memanfaatkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampuni kamu padahal Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah an-Nur :22)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.( Surah Al-Hujurat:10)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sedekahmu kepada orang miskin sekadar mendapat pahala, namun jika kamu sedekahkan kepada orang yang mempunyai tali persaudaraan, mendatangkan dua ganjaran pahala, iaitu pahala sedekah dan pahala mengeratkan hubungan persaudaraan. (HR Ahmad 15646).

Adalah menjadi amalan para Nabi dan Rasul bersedekah, bahkan mereka menjadi sumber kepada kehidupan dan kekuatan umat pada masa tersebut. Tanpa mengira batasan dan halangan yang ada para Nabi dan Rasul tetap bersedekah seperti kisah Nabi Ibrahim yang akan mengundang sesiapa sahaja yang melalui rumahnya untuk makan. Begitu juga dengan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW merupakan manusia yang paling pemurah. Baginda menjadi paling pemurah pada bulan Ramadan. Sesungguhnya kemurahan baginda lebih laju daripada angin yang bertiup. (HR Ahmad 2485)

Jika kita menelusuri kisah-kisah tauladan umat-umat yang terdahulu bermula daripada sedekah banyak membantu perpaduan dalam masyarakat yang dapat menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu satu umat yang bertamadun. 

Allah SWT telah manjadikan manusia dalam pelbagai bangsa dan keturunan. Semuanya ini adalah  sunnatullah demi kebaikan manusia sejagat. Islam mengiktiraf semua bangsa yang tidak membezakan martabat manusia, semua kejadian ini ada hikmahnya.

Firman Allah SWT dalam yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya akan keadaan dan amalan kamu.(Surah Al-Hujurat:13)

Dalam Islam aspek persamaan, persefahaman kasih sayang tanpa batasan adalah agenda keharmonian umat sejagat. Inilah ajaran yang ditekankan oleh Rasulullah SAW kepada uma t untuk membentuk umat yang satu. umat Islam seharusnya sedar bahawa mereka sedang diuji dengan bermacam-macam cara dan tidak terkecuali ikatan persaudaraan dan perpaduan. Fitnah dan kebencian merupakan antara ujian kepada ikatan persaudaraan ini yang boleh mencetuskan pergaduhan dan perbalahan. Ini adalah satu sifat yang diinginkan oleh syaitan yang suka menghasut masusia dengan sifat-sifat mazmumah. Sekiranya ia tidak dibendung, ia akan menjadi parah dan menghancurkan umat zaman ini. Firman Allah SWT dalam yang bermaksud : “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad SAW), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’: 107)

Rasulullah SAW telah merealisasikan konsep persaudaraan di Madinah dengan menjadikan penduduk di Madinah pada ketika itu mendapat keadilan yang sewajarnya. Penyatuan umat adalah menjadi agenda utama baginda. Contoh-contoh yang boleh dipelajari daripada peristiwa perjanjian Hudaibiah dan bagaimana baginda menyatukan suku Auz dan Khazraj adalah merupakan langkah yang efektif bagi merealisasikan agenda baginda. Maka dengan semangat Syawal yang juga dikatakan sebagai bulan silaturahim di mana umat Islam saling memaafkan satu sama lain, jadikanlah ianya sebagai platform yang terbaik untuk perpaduan dan mendapat ganjaran pahala disi Allah SWT.

--BERNAMA

 

Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff ialah Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).