Ketika Insan Lain Beraya, Apmm Belayar Demi Keselamatan Perairan Negara
Oleh Muhamad Amir Aiman Azlan
KLANG, 8 April (Bernama) -- "Laut dan kapal umpama rumah kedua kami," kata Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk Leftenan Komander Maritim Mohd Asri Zahari tatkala menggambarkan siap siaga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Begitulah tugas APMM dalam memastikan perairan negara khususnya di Selangor sentiasa terlindung daripada sebarang aktiviti jenayah.
Mohd Asri yang sudah berkhidmat selama hampir lapan tahun berkata ketika insan lain bergembira bersama ahli keluarga menyambut perayaan termasuk lebaran yang bakal tiba, beliau bersama kru KM Bagan Datuk cekal berada di samudera ‘menyantuni’ setiap inci laut dengan melakukan rondaan.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata cabaran bersahur, berbuka puasa atau berhari raya di atas kapal, sedikit pun tidak mengganggu fokus kesemua kru kapal dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab.
Berbekalkan semangat kerjasama yang telah tersemat antara mereka sejak awal menyarung celoreng pasukan terus menjadi sumber kekuatan untuk kekal bersemangat ketika bertugas.
"Ini sudah menjadi asam garam kepada saya dan setiap anggota juga telah ditanamkan dengan sifat tanggungjawab terhadap negara dan juga keluarga, jika berada di laut tumpuan diberikan sepenuhnya kepada tugasan dan apabila pulang ke darat, kami tumpukan sepenuh masa bersama keluarga.
"Bagi kami berpuasa atau berhari raya di atas kapal atau di rumah seakan sudah tiada beza, cuma persekitarannya berlainan selain perlu sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman musuh yang cuba mengganggu keselamatan atau ketenteraman perairan negara dan komuniti setempat," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Untuk tahun ini, Mohd Asri dan pasukannya akan berada di lautan sekali lagi kerana terlibat Op Khas Pagar Laut yang dilaksanakan pada Ramadan hingga Syawal bermula 12 Mac hingga 30 April bagi mengekang serta memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.
KM Bagan Datuk merupakan antara satu daripada dua kapal peronda yang ditugaskan mengawasi perairan Selangor dengan kekuatan seramai 20 hingga 30 kru dalam sekali pelayaran.
Berkongsi perkara sama, Penolong Pegawai Operasi KM Bagan Datuk Leftenan Muda Maritim Hanis Nabilah Mohd Faiz berkata beliau tidak kesal terpaksa berjauhan dengan suami dan keluarga dalam tempoh bertugas dan bersyukur dianugerahkan pasangan yang memahami kerjayanya.
Anak kelahiran Melaka yang baru sahaja menamatkan latihan tahun lepas, mengakui cabaran utama yang perlu diharungi adalah untuk menguruskan emosi dalam memastikan fokus mengawal perairan negara tidak terganggu.
“Memang mencabar, sebab kita bermain dengan emosi kita sendiri dan memang sedikit syahdu sebab kita kena kerja waktu orang lain sedang seronok berkumpul bersama keluarga.
"Bagi saya biar apa pun cabarannya, tugas perlu diteruskan. Saya bersama anggota dan pegawai yang lain akan menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi, berlapang dada dan ikhlas,” katanya.
Bagi tukang masak Laskar Kelas 1 Maritim Mohammad Nasaruddin Abdul Talip berkata setiap kali Aidilfitri menjelma menjadi tugasnya untuk menyediakan juadah bagi memastikan semua kru kapal kekal bertenaga dan bermotivasi ketika bertugas.
Antara menu menjadi kegemaran ialah nasi beriani dan nasi minyak yang dihidangkan bersama juadah lain seperti rendang, lemang serta nasi himpit.
“Apa yang mencabar macam mana nak urus emosi sebab ketika orang lain beraya, kita pula berada di tengah lautan… tapi bila fikir itu satu tanggungjawab, maka kita kena laksanakan,” katanya sambil menambah beraya di atas kapal bersama rakan setugas yang lain turut terselit keseronokan tersendiri.
-- BERNAMA