Persiapan Aidilfitri: Orang Ramai Manfaat Hari Terakhir Ramadan
JOHOR BAHRU, 9 April (Bernama) -- Mengambil peluang promosi dan diskaun lebih murah yang kelazimannya diberikan pada akhir Ramadan menjadi antara faktor orang ramai memilih saat akhir untuk membeli-belah menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut esok.
Tinjauan Bernama di sebuah pasar raya di sini mendapati premis yang sentiasa dikunjungi warga tempatan dan Singapura itu mula menjadi tumpuan seawal 9.15 pagi.
Aida Miskon, 48, berkata dia memilih membuat pembelian di saat akhir kerana selain kekangan masa susulan kesibukan bekerja dan lazimnya akan ada promosi lebih murah.
“Kami sekeluarga sebenarnya baru sampai dari Nilai sebab saya dan suami bekerja di Nilai dan hari ini baru berkesempatan nak cari baju raya. Memandangkan kampung suami di Kampung Melayu Majidee dekat dengan pasar raya ini jadi kami pilih membeli-belah di sini.
“Setakat ini harga okay tidak membebankan, kita perlu pandai tawar harga dan rajin cari untuk pastikan kita dapat barang yang cantik dan berpatutan. Semua tahu, tahun ini agak mencabar jadi persiapan seadanya sahaja mengikut keperluan,” kata ibu kepada lima cahaya mata itu.
Hafilah Zatin Amali Aman, 49, yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Pontian berkata dia memilih membeli-belah pada minggu akhir Ramadan kerana keadaan sedikit lengang berikutan ramai telah pulang ke kampung dan tawaran promosi dengan harga lebih rendah.
“Saya datang tadi dalam 9.45 pagi...Alhamdulillah tempat letak kenderaan masih banyak dan hari ini, saya cari baju untuk anak tunggal saya.
"Kalau ikutkan memang kami sekeluarga tak nak tukar baju baharu kerana akhir tahun lepas sudah ada baju yang dibuat untuk majlis adik bongsu saya, cuma baju anak ada kotoran dan rosak sebab itu saya datang di sini.
“Harga alhamdulillah murah dan berpatutan…kena pandai carilah...Tentang persiapan raya pula pada saya sederhana sahaja dan saya akan beraya di kampung saya di Pontian," katanya yang ditemani anak lelakinya Hanif Daniel Mohd Syahomlail,15.
Bagi tiga beradik Suriani Salleh, 46, Sarina Salleh, 51, dan Suraya Saleh, 42, meskipun persiapan awal telah dilakukan, mereka berkunjung ke pasar raya hari ini kerana mahu meninjau dan membeli barang-barang yang menarik perhatian.
“Kami baru sampai kira-kira pukul 9 pagi tadi..kami datang nak jalan-jalan lihat apa yang boleh kami beli untuk tambahan seperti kuih raya dan sebagainya serta kami nak rasai suasana hari terakhir Ramadan di pasar raya.
“Alhamdulillah kuih yang kami beli hari ini lapan balang dan harganya murah empat balang RM100…di sini kita kena pandai cari dan pilih dan mungkin hari ini akan ada diskaun lebih...ikut bajet dan keperluan,” kata mereka yang akan beraya di Kampung Melayu Majidee.
-- BERNAMA