60.65 Tan Makanan Dan Minuman Diselamatkan Menerusi Mysavefood@ramadan 2024 - Kpdn

09/04/2024 02:20 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Pelaksanaan Program MySaveFood@Ramadan 2024 selama 26 hari di 139 bazar Ramadan berjaya menyelamatkan sebanyak 60.65 tan makanan dan minuman bernilai RM724,770.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata pencapaian MySaveFood@Ramadan 2024 itu turut meliputi pelepasan gas rumah hijau sebanyak 113,763 kilogram yang dapat dihalang.

Beliau berkata satu ekosistem pengurusan lebihan makanan sedang dirangka untuk memperkasa pelaksanaan program sama pada tahun hadapan.

Selain dapat menyelamatkan makanan yang masih elok beliau berkata menguruskan sisa makanan terbuang secara sistematik untuk dijadikan baja kompos turut memberi banyak manfaat. 

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus menyokong usaha murni ini dan berharap ia menjadi satu budaya yang dipraktikkan dalam skala lebih besar lagi pada tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod bagi tahun lepas, program berkenaan telah dijalankan di 55 bazar Ramadan dengan 25 tan makanan dan minuman bernilai RM300,000 berjaya diselamatkan.

MySaveFood @ Ramadan 2024 merupakan sistem pengurusan berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman.

Program itu dilaksanakan dengan mengumpulkan makanan dan minuman yang masih berkeadaan baik, tidak terjual di bazar Ramadan tertentu sebelum diagihkan kepada para pelajar, rumah kebajikan, gelandangan dan golongan memerlukan.

Dijalankan dengan usaha sama KPDN dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA), program kali ini melibatkan 2,112 sukarelawan termasuk Gerakan Pengguna Siswa (GPS).

KPDN berharap usaha itu akan menjadi satu budaya untuk mengelakkan pembaziran makanan dan pada masa sama mengalu-alukan penyertaan badan korporat serta badan bukan kerajaan dalam pelaksanaan program seumpamanya.

-- BERNAMA