Persekitaran Selangor Fc Lancar Tugas Nidzam Siapkan Skuad Terbaik
KUALA LUMPUR, 17 Apr (Bernama) -- Pengendali baharu Selangor FC Nidzam Jamil memandang tinggi peranan setiap individu yang terlibat bersama barisan kejurulatihan skuad Gergasi Merah.
Nidzam yang merupakan pengendali sementara naib juara Liga Super 2023 itu sebelum dilantik secara tetap pada bulan ini, mengakui bertuah kerana setiap individu di Selangor menjalankan tugas dengan amat baik dan memiliki pengalaman luas dalam kancah saingan domestik.
Menurut beliau, perkara itu melancarkan fasa persediaan pasukan bimbingannya pada pramusim ini termasuk perlu mengendalikan sesi latihan pada malam hari sewaktu Ramadan, menjelang saingan Liga Super 2024/2025 yang dijadual bermula Mei ini.
“Kami bukan saja ada pakar pemakanan yang memainkan peranan besar untuk mengelakkan prestasi tidak menentu dalam bulan Ramadan, kami juga ada pegawai sosial pemain yang bantu pemain-pemain baharu terutama import menyesuaikan diri dengan sesi latihan pada malam hari sepanjang Ramadan.
“Sangat penting untuk kelab kami menyediakan segala informasi kepada pemain dibantu oleh pegawai-pegawai pasukan.
“Kami beruntung sebab Selangor ada mereka yang buat tugas dengan baik dalam bidang masing-masing, pembantu jurulatih yang sudah lalui macam-macam dan jurulatih fizikal yang sudah lapan musim di Malaysia dan tahu apa diperlukan untuk menjalankan latihan sewaktu Ramadan,” katanya kepada Bernama.
Pengendali berusia 44 tahun itu berkata normal untuk mana-mana pemain import bersama keluarga yang pertama kali datang ke Malaysia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kelainan sewaktu Ramadan.
Beliau berkata ada pasangan pemain yang hairan apabila masa latihan berubah sekitar pukul 10 malam yang sedikit sebanyak menjejaskan rutin harian keluarga.
“Ia normal dan kami beruntung ada pegawai yang akan membantu mereka, ia (perubahan) tidak mudah bagi mereka sekeluarga (pemain import).
“Jadi bagi saya dalam perkara ini, kemanusiaan itu lebih penting daripada sains. Sudah tentu sains penting tetapi dari sudut kemanusiaan, bagaimana cara mereka yang bukan Muslim untuk hadapi Ramadan penting bagi saya,” katanya yang mengharapkan untuk mencapai kejayaan bersama Selangor.
Selain bersaing dalam Liga Malaysia, Nidzam juga berpeluang mencipta kejayaan di pentas Asia apabila akan membimbing Selangor dalam kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL 2) 2024/2025.
Nidzam yang merupakan bekas pengendali Felda United FC, pernah menjadi pembantu ketua jurulatih dan ketua jurulatih sementara Selangor sebelum diberi kepercayaan untuk membimbing skuad Gergasi Merah selepas Tan Cheng Hoe meninggalkan pasukan, awal tahun ini.
-- BERNAMA