Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah

24/04/2024 09:38 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu selepas meningkat sebelum itu berikutan kebimbangan terhadap permintaan yang rendah selepas musim puncak, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan pengeluaran yang tinggi pada minggu-minggu akan datang juga dilihat juga sebagai faktor penurunan harga.

“Permintaan cenderung menurun selepas Ramadan, jadi apa yang kita lihat sekarang adalah kesan selepas perayaan. Justeru, kami mengesan paras sokongan pada RM3,850 satu tan dan paras rintangan pada RM4,080 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain harga minyak mentah yang lebih rendah, harga minyak soya yang lemah turut menyumbang kepada penurunan prestasi harga.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mei 2024 susut RM33 kepada RM4,040 satu tan, Jun 2024 merosot RM32 kepada RM3,984 satu tan, dan Julai 2024 berkurangan RM29 kepada RM3,942 satu tan. 

Kontrak Ogos 2024 merosot RM22 kepada RM3,914 satu tan, September 2024 turun RM12 kepada RM3,901 satu tan, manakala Oktober 2024 susut RM2 kepada RM3,907 satu tan.

Jumlah dagangan menurun kepada 66,058 lot daripada 72,123 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 253,400 kontrak daripada 254,196 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan susut RM20 kepada RM4,130 satu tan.

-- BERNAMA