Kenali Palestin Melalui Buku Kanak-kanak 'story Of The Stolen Homes'
Oleh Linda Khoo Hui Li
KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Sebuah buku kanak-kanak yang diilustrasikan dengan indah, Story of the Stolen Homes, akan membawa pembaca muda dalam perjalanan untuk meneroka kehidupan kanak-kanak Palestin dan mengenal pasti budaya unik Palestin.
Ditulis oleh penulis Uyghur-Perancis, Sr Guzelya Marisova, beliau menulis buku itu sebagai cara untuk menyuarakan kesedihan di dalam hatinya berikutan serangan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 7 Okt lepas.
"Memandangkan situasi di Palestin semakin teruk sejak 7 Okt lepas, saya sangat bimbang tentang apa yang berlaku di sana.
Saya mahu membuat perubahan positif dan menjadi suara kepada rakyat Palestin, menunjukkan sokongan saya untuk memberi manfaat kepada mereka dan orang lain di seluruh dunia.
Strategi terbaik adalah menulis mengenai Palestin dan menjadikannya sangat baik… menggunakan kreativiti untuk memanifestasikan suara orang yang tidak didengari," katanya kepada Bernama.
Buku itu mengisahkan mengenai pasangan kembar Eldar dan Elnur, bersama ibu bapa dan sepupu mereka, Kama, meneroka pameran khas di Paris yang dipanggil "The Story of the Stolen Homes."
Mereka memperoleh banyak pengetahuan berharga tentang Palestin melalui Reem yang menjadi pemandu sepanjang lawatan itu.
Sejak 7 Okt lepas, Sr Guzelya yang dilahirkan dan dibesarkan di Kazakhstan dan kini berpangkalan di Jakarta, Indonesia, berkata terdapat peningkatan rasa simpati terhadap Palestin, didorong oleh kematian tragis kanak-kanak.
“Saya percaya kebangkitan ini menyentuh hati manusia, termasuk mereka yang sebelum ini kurang memberi perhatian kepada Palestin. Ini penting kerana ia menunjukkan keprihatinan kita terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Dalam dunia yang serba selesa hari ini, Sr Guzelya berkata kanak-kanak sering terlindung daripada realiti penindasan.
“Kebanyakan hiburan mereka, termasuk kartun sering menggambarkan dunia yang ceria, tetapi adalah penting untuk mendedahkan mereka kepada nasib mereka yang ditindas. Dengan memberi penerangan tentang isu-isu ini, kami boleh membina generasi yang menghargai empati, keadilan dan persefahaman untuk semua.
Pada dasarnya, buku saya mengajar kanak-kanak pelajaran penting untuk menghargai kebebasan, kepercayaan dan keluarga. Nilai-nilai ini bertindak sebagai asas yang membentuk kehidupan kita dan membimbing kita ke arah kewujudan yang bermakna," katanya.
Sr Guzelya berkata buku dalam versi Bahasa Indonesia dilancarkan semasa Ramadan pada Mac, manakala versi Bahasa Inggeris yang diterbitkan di Malaysia akan mula dijual secara dalam talian pada 12 Mei.
“Kami telah menjual 2,000 salinan di Indonesia dalam masa satu bulan sahaja selepas ia dilancarkan,” katanya.
Bagi pembaca di Malaysia, Story of the Stolen Homes akan boleh didapati secara dalam talian mulai 12 Mei melalui www.tertib.press dan www.nuhnnuha.com
Di Indonesia, beliau berkata royalti jualan buku itu akan disumbangkan kepada Dompet Dhuafa, manakala di Malaysia akan disalurkan kepada Cinta Gaza Malaysia
Mengimbas kembali proses penghasilan buku, Sr Guzelya berkata: “Saya mendapat inspirasi untuk cerita ini dalam masa seminggu dan segera menulisnya, namun proses penyuntingan dan penambahbaikan mengambil sedikit masa untuk memperhalusi butiran dan urutan cerita.
"Saya juga merujuk kepada pakar di Asia Barat serta tokoh agama kerana sebagai seorang Muslim, saya mahu memastikan cerita futuristik ini tidak bertentangan dengan kepercayaan agama," katanya.
-- BERNAMA