Penganalisis Jangka Stok Simpanan Msm Meningkat, Beri Kesan Pada Harga

13/05/2024 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Penganalisis daripada firma penyelidikan menjangkakan stok simpanan minyak sawit mentah (MSM) meningkat dalam beberapa bulan akan datang, yang berpotensi memberikan tekanan kepada harga.

Dalam nota penyelidikan mereka hari ini, penganalisis daripada Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dan Public Investment Bank Bhd mengunjurkan inventori MSM akan terus meningkat, dan mereka mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan.

Maybank IB berkata pasaran menjangkakan simpanan MSM akan melebihi dua juta tan.

Ia berkata anggaran awal eksport Malaysia untuk penghantaran dari 1-10 Mei 2024 menunjukkan permintaan yang lebih lemah, kerana juruukur kargo bebas seperti Amspec/ Intertek masing-masing melaporkan penurunan bulan ke bulan (m-o-m) - 14.8 peratus/ -14.2 peratus kepada 362,790 tan / 369,920 tan.

“Penurunan semula dalam eksport selepas Ramadan adalah dalam jangkaan berdasarkan trend sebelum ini.

“Disebabkan ini, kami menjangkakan simpanan akan bertambah semula, terutamanya pada bulan-bulan ketika pengeluaran memuncak pada Ogos hingga Oktober,” tambahnya.

Sementara itu, HLIB percaya stok simpanan akan kekal dalam aliran menaik pada bulan ini, memandangkan eksport berkemungkinan kekal lemah berikutan ketiadaan permintaan yang didorong oleh musim-musim perayaan dan daya saing harga minyak sawit yang lemah berbanding minyak pesaing.

“Kami mengekalkan unjuran harga MSM pada 2024 dan 2025 ialah pada RM4,000 setan dan RM3,800 setan,” katanya.

Walaupun Public Investment berkongsi jangkaan yang sama berkenaan dengan stok simpanan, ia menjangkakan pemain-pemain minyak sawit memperoleh pendapatan yang lebih kukuh pada suku pertama 2024 (S1 2024).

“Dengan pengecualian kepada Ta Ann Holdings Bhd dan TSH Resources Bhd, majoriti syarikat perladangan di bawah liputan kami menghasilkan pengeluaran buah tandan segar yang lebih baik pada S1 2024, didorong oleh produktiviti yang lebih tinggi dan penggunaan baja yang lebih baik pada masa lalu.

“Mengenai prestasi harga MSM, purata harga komoditi itu meningkat kepada RM4,006 setiap tan metrik pada S1 2024 berbanding RM3,678 setiap tan metrik pada S4 2023,” katanya.

-- BERNAMA