Kedutaan Turkiye Raikan Minggu Masakan Turkiye Bersama Chef Terkenal Ramazan Bingol

18/05/2024 11:46 AM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kedutaan Turkiye di Malaysia meraikan Minggu Masakan Turkiye dengan menganjurkan demonstrasi memasak masakan dari negara itu yang menampilkan chef selebriti terkenal Turkiye, Ramazan Bingol, mengetengahkan kepelbagaian rasa sajian dari wilayah Aegean Turkiye.

Acara yang diadakan pada 10 Mei di Le Cordon Bleu Sunway, sebuah institusi seni kulinari yang diiktiraf di peringkat global dan memenangi anugerah di Malaysia, mempamerkan Chef Bingol yang membawa tetamu mengembara melalui warisan gastronomi Turkiye yang kaya.

Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel menekankan kepentingan amalan lestari masakan Aegean Turkiye, dengan menyatakan: "Menu istimewa tahun ini terdiri daripada hidangan tempatan daripada masakan wilayah Mediterranean Aegean.

"Pantai Aegean Turkiye terkenal dengan pemandangan yang indah, sejarah yang berakar umbi dan budaya makanan yang sihat, menarik perhatian dengan landskap hijau dan biru yang menakjubkan," katanya semasa ucapan perasmian yang disediakan kepada Bernama.

Minggu Masakan Turkiye, yang akan memukau penggemar makanan di seluruh dunia dari 21 hingga 27 Mei, 2024 meraikan budaya dan tradisi gastronomi Anatolia yang kaya.

Acara tahunan ini akan menampilkan pelbagai acara dan kempen media sosial yang dianjurkan oleh wakil Republik Turkiye di dalam dan luar negara.

Chef Bingol mempamerkan pelbagai sajian semasa acara berkenaan, termasuk İzmir kofte (bebola daging kambing berempah) dan Tel kadayif (doh kadayif yang dibakar dalam sirap dengan kacang yang dihancurkan), memberikan kesimpulan yang manis kepada perjalanan gastronomi. Penyediaan kopi tradisional Turkiye juga ditunjukkan, memperlihatkan kepentingannya dalam budaya Turkiye.

Sempena Minggu Masakan Turkiye, Curate di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur akan mempersembahkan pesta kulinari Turkiye dari 21 hingga 26 Mei. Tetamu boleh menikmati perjalanan gastronomi yang menakjubkan dengan Chef Karabatak dan Chef Atacan Uras, mempersembahkan hidangan dengan rasa mewah yang diterbangkan khas dari Four Seasons Hotel Sultanahmet di Istanbul.

Untuk maklumat lanjut, sila layari turkishcuisineweek.com.

-- BERNAMA