Aidiladha: Peniaga Diingatkan Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga Barangan - Kpdn
SEREMBAN, 1 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan para peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan, apabila permintaan tinggi terutama menjelang Aidiladha ini.
Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata lebih 2,200 penguat kuasa dan 1,000 pegawai pemantau harga KPDN, akan digerakkan setiap hari di premis termasuk kedai runcit dan pasar raya seluruh negara bagi memastikan tiada peniaga menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Kita ada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tindakan tegas boleh diambil tindakan sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah. Musim perayaan permintaan untuk barangan adalah tinggi, jadi kita harap peniaga tidak menaikkan harga.
“Tiada pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidiladha, tapi KPDN kawal seperti biasa dan penguat kuasa sentiasa melakukan pemantauan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata KPDN juga proaktif melakukan pemantauan terhadap bekalan barangan asas dalam negara termasuk minyak masak paket untuk keperluan isi rumah, bagi memastikan tiada ketirisan berlaku berikutan ada restoran yang turut menggunakannya.
Sementara itu, Fuziah berkata lebih 60,000 kilogram makanan dan minuman dengan anggaran nilai RM700,000, berjaya diselamatkan di 147 bazar Ramadan seluruh negara menerusi program MySaveFood Ramadan lepas membabitkan 2,000 sukarelawan.
Beliau berkata kempen digerakkan kementerian dengan rakan strategik iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu, turut bertujuan membentuk keperibadian baik dalam kalangan anak muda.
“Program itu juga mendapat kerjasama setiap pihak berkuasa tempatan dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Kita berhasrat program ini dapat diteruskan ke pasar malam pula selepas ini,” katanya.
-- BERNAMA