Bernama Tv Diiktiraf Media Terbaik Kategori Penyiaran Bagi Csr

19/07/2024 12:23 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bernama TV diiktiraf sebagai Media Terbaik kategori Media Penyiaran menerusi liputan dan laporan dalam menyokong aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2024 di sini malam ini

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, yang turut diiringi Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali.

Nur-ul Afida berkata susulan kemenangan itu, Bernama TV atau Bernama secara keseluruhannya akan terus berusaha menambah baik dan meningkatkan lagi mutu laporan berkaitan aktiviti CSR. 

“Saya mengucapkan tahniah kepada warga kerja Bernama TV kerana telah memenangi anugerah ini. Saya percaya ini berdasarkan sokongan Bernama TV dan Bernama secara amnya kepada program-program  CSR yang dijalankan.

“Bernama mempunyai pelbagai program yang kita laksanakan terutamanya semasa bulan Ramadan dengan memberi tumpuan kepada golongan memerlukan seperti anak yatim dan ibu tunggal,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah itu di sebuah hotel di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama Shukri Ishak. 

Nur-ul Afida juga berkata Bernama TV tidak terkecuali membuat laporan berkaitan pihak luar yang melakukan aktiviti CSR bagi membantu masyarakat setempat. 

“Saya rasa pilihan sebagai pemenang kali ini adalah berdasarkan kepada sumbangan Bernama serta laporan dan liputan Bernama dalam aktiviti sedemikian,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Noraini berkata Anugerah CSR yang diraikan bukan sahaja mengiktiraf pencapaian syarikat yang telah berjaya melaksanakan inisiatif itu dengan cemerlang tetapi juga mencetuskan anjakan paradigma dalam pendekatannya secara keseluruhan.

Beliau berkata pengiktirafan itu diharap dapat menunjukkan bahawa tanggungjawab sosial bukan sekadar tambahan kepada operasi perniagaan tetapi juga adalah komponen penting yang seharusnya menjadi sebahagian daripada strategi utama setiap syarikat.

-- BERNAMA