SUKMA 2024: Sarawak Raih Tiga Emas Di Gelanggang Tinju
SRI AMAN, 22 Ogos (Bernama) -- Tiga daripada enam petinju Sarawak berjaya memenangi perlawanan akhir kategori masing-masing sekali gus menghadiahkan tiga lagi pingat emas untuk kontinjen Bumi Kenyalang di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman di sini hari ini, emas pertama Sarawak diraih Clarkson Evans Tom Frankie yang menewaskan wakil Kedah R. Thanasekaran, 5-0 dalam kategori Minimum Weight lelaki (45 kg - 48 kg).
Dalam kategori Middleweight lelaki (71 kg - 75 kg), Gideon Riquelme Jonathan meraih emas kedua Sarawak apabila mengalahkan Muhammad Ayyub Fidaus Rusdi dari Wilayah Persekutuan, 5-0.
Pasukan tinju Sarawak menambah satu lagi pingat emas dalam kategori Featherweight wanita (52 kg - 57 kg) melalui Hamiesha Hamdan yang menewaskan Balqis Dayana Badrol Hisham dari Selangor, 5-0.
Sarawak turut meraih tiga pingat perak melalui Lam Wee Liang dalam kategori Lightweight lelaki (57 kg - 60 kg), Anderton Teck Hieng Tie (Welterweight, 63.5 kg - 67 kg) dan Patricia Jaquilina Bruce (Minimum Weight wanita, 45 kg - 48 kg)
Dalam pada itu, Mohamad Rizal Wahidi dari Pulau Pinang memenangi emas dalam kategori Bantamweight lelaki (51 kg - 54 kg) selepas menewaskan Najmuddin Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, 5-0.
Sementara Hazman Iskandar Zulkifli Siew dari Selangor mengungguli kategori Lightweight lelaki (57 kg - 60 kg) selepas mengalahkan wakil tuan rumah Wee Liang, 4-1.
Bagi kategori Cruiserweight lelaki (80 kg - 86 kg), Nur Ikmal Ramadan Sakila dari Terengganu muncul juara setelah menewaskan Muhammad Syahmi Kauthar dari Kedah 4-1.
Johor turut membawa pulang pingat emas menerusi Muhammad Ariff Aiman yang beraksi dalam kategori Welterweight (63.5 kg - 67 kg) selepas menewaskan wakil tuan rumah Anderton, 5-0.
Selain itu, Sabah juga mencatat kejayaan apabila Dierdra Jacquelina Richard meraih emas dalam kategori Minimum Weight wanita (45 kg - 48 kg) menewaskan Patricia Jaquilina dari Sarawak, 5-0.
-- BERNAMA