Lebih 181,000 Kanak-kanak Terima Vaksin Polio Di Semenanjung Gaza

17/10/2024 08:56 PM

GAZA, 17 Okt (Bernama-WAFA) -- Menteri Kesihatan Palestin Majed Abu Ramadan memaklumkan bahawa kementeriannya dengan kerjasama pasukan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), dan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), berjaya memberi suntikan vaksin polio kepada 181,429 kanak-kanak berumur bawah sepuluh tahun di wilayah tengah Semenanjung Gaza dalam tempoh tiga hari.

 Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan vitamin A turut diberikan kepada 148,064 kanak-kanak berumur dua hingga sepuluh tahun di pelbagai pusat vaksinasi, sebagai sebahagian daripada pusingan kedua kempen kecemasan vaksinasi polio.

Ramadan menjelaskan bahawa Khamis adalah hari terakhir vaksinasi di kawasan terbabit, manakala pasukan akan mula memvaksinasi kanak-kanak di Khan Yunis dan Rafah selama empat hari pada Sabtu, sebelum beralih ke Gaza dan kawasan Utara.

Kempen ini menyasarkan untuk memvaksinasi 591,700 kanak-kanak berumur bawah sepuluh tahun dengan mengerahkan pasukan tetap dan bergerak bagi melaksanakan kempen.

Kementerian Kesihatan menekankan bahawa kejayaan kempen ini bergantung kepada jeda kemanusiaan untuk memastikan semua petugas dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat, membolehkan keluarga membawa anak-anak mereka untuk divaksinasi.

-- BERNAMA-WAFA