Zakat Fitrah Di Perak Ditetapkan RM10, RM16 Dan RM27 - Timbalan Mufti
IPOH, 27 Feb (Bernama) -- Kadar bayaran zakat fitrah di Perak bagi 1446H/2025M ditetapkan sebanyak RM10, RM16 dan RM27 seorang, berdasarkan jenis beras.
Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim berkata kadar RM10 adalah bagi mereka yang menggunakan beras MADANI, beras super tempatan (SST) dan beras putih super import.
"Bagi yang memakan beras rebusan, beras perang dan beras wangi, mereka digalakkan membayar RM16 manakala pengguna beras basmati dan beras pulut digalakkan membayar RM27," katanya pada majlis pengumuman kadar zakat fitrah itu di sini hari ini.
Tahun lepas, kadar zakat fitrah bagi tiga beras berkenaan di Perak ditetapkan masing-masing RM8, RM16 dan RM24.
Zamri dalam sidang media berkata kadar zakat Perak lebih tinggi daripada Selangor kerana mengambil kira hasil kajian dilakukan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selain kadar pengiraan itu sendiri yang berbeza daripada negeri lain.
Kajian di Perak, menurut beliau adalah berdasarkan data daripada dua agensi berkaitan, iaitu Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta penetapan Jadual Makanan Asas 2024 oleh Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.
"Dari situ kita mendapat harga beras, dan MAIPk mengkaji beras paling banyak dimakan di Perak ialah beras SST dan beras import. Namun, disebabkan kekurangan beras tempatan, dirumuskan oleh KPKM terdapat beras MADANI, iaitu campuran kedua-duanya.
“Satu kilogram beras MADANI berharga kira-kira RM4.10. Apabila ditukar kepada satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.6 kilogram, ia menjadi sekitar RM10 lebih. Maka, kita mendapat kadar asas (zakat fitrah) itu selepas dibundarkan kepada RM10,” katanya.
Berdasarkan pengumuman Lembaga Zakat Selangor pada Isnin lepas, kadar zakat di negeri itu pada Ramadan kali ini ditetapkan sebanyak RM7, RM15 dan RM22 seorang, berdasarkan jenis beras.
Sementara itu, majlis sama turut menyaksikan pelancaran aplikasi MAIPk Bestari oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut dihadiri Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Inovasi kutipan pembayaran zakat melalui sistem digital QR sama ada menerusi amil dilantik atau bayaran terus kepada MAIPk itu, menjadikan kutipan zakat lebih mudah, cekap, telus dan selamat.
Aplikasi berkenaan juga membolehkan pembayar menyertai program wakaf dengan lebih mudah, pada kadar bermula serendah RM1 sahaja.
-- BERNAMA