Bazar Ramadan Rahmah Di 95 Lokasi Seluruh Negara - Fuziah
KUANTAN, 27 Feb (Bernama) -- Bazar Ramadan Rahmah (BRR) akan dianjurkan di 95 lokasi di seluruh negara termasuk enam di Pahang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata BRR antara lain bertujuan menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga lebih berpatutan, dengan tumpuan khas kepada Menu Rahmah yang dijual pada harga tidak melebihi RM5.
"Kita juga akan memberi subsidi sewa tapak bazar bagi mengurangkan kos perniagaan mereka yang terlibat," katanya pada sidang media selepas majlis pembukaan sebuah pasar raya di Indera Mahkota di sini hari ini.
Fuziah berkata enam lokasi BRR di negeri ini ialah di bazar Ramadan Mahkota Square di sini, bandar Jerantut, Taman Temerloh Jaya (Temerloh), Muadzam Shah (Rompin), Dataran Kerayong (Bera) dan bandar Raub.
Beliau berkata BRR turut mengambil langkah proaktif menggalakkan perniagaan berkonsepkan digital khususnya melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).
Menurut Fuziah langkah itu bertujuan meningkatkan pendedahan peniaga dan pengguna kepada kemudahan e-wallet dan pembayaran tanpa tunai.
Sementara itu, beliau memaklumkan penguatkuasaan berkaitan beras terletak di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), termasuk dari segi penetapan harga bahan makanan itu.
Fuziah ditanya mengenai tindakan penguatkuasaan dalam isu beras import yang dicampur dengan beras putih tempatan (BPT).
-- BERNAMA