Sah Bayar Zakat Fitrah Secara Dalam Talian Walaupun Tanpa Akad - Timbalan Mufti Perak
IPOH, 27 Feb (Bernama) -- Sah pembayaran zakat fitrah secara dalam talian termasuk melalui aplikasi walaupun tiada akad berlaku di hadapan amil, kata Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim.
Zamri berkata dari segi hukum, asas berzakat tidak semestinya ada akad, tetapi lebih penting adalah niat.
“Namun, khalayak kita suka dan terbiasa dengan akad, serta ada doa selepas membayar zakat fitrah, ia tiada masalah (bayar secara dalam talian melalui aplikasi) asalkan niatnya betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman kadar zakat fitrah negeri Perak bagi 1446H/2025M serta pelancaran aplikasi MAIPk (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak) Bestari di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh.
Kadar bayaran zakat fitrah di Perak bagi tahun 1446H/2025M ditetapkan RM10, RM16 dan RM27 seorang, berdasarkan jenis beras.
Zamri berkata bagi golongan warga emas yang tidak celik teknologi maklumat, mereka boleh mewakilkan anak mereka untuk membayar zakat termasuk secara dalam talian, tetapi mesti disertai wakalah (lafaz wakil).
“Contohnya, ‘ambil wang ini, tolong bayarkan zakat mak’, anak itu boleh mengambil wakalah itu dan membayar zakat bagi pihak ibunya. Ia adalah lebih memudahkan golongan itu untuk membayar zakat,” katanya.
Sementara itu, Syamsul Hazeman berkata aplikasi MAIPk Bestari dibangunkan sebagai inovasi untuk urusan pembayaran zakat yang lebih mudah, cepat dan selamat melalui sistem QR digital, sama ada menerusi amil yang dilantik atau bayaran terus ke MAIPk.
“Bagi yang mahu juga berakad, akad juga disertakan dalam aplikasi ini dan pembayar masih boleh menggunakan kaedah konvensional, namun amil akan menggunakan aplikasi ini untuk tujuan rekod,” katanya.
Beliau berkata aplikasi yang akan bermula pada 1 Ramadan itu turut menerima pembayaran zakat fitrah sepanjang tahun bagi zakat fitrah yang tidak sempat dibayar semasa bulan Ramadan.
“Memang tempoh wajib membayar zakat fitrah ditetapkan sepanjang bulan Ramadan, namun atas sebab tertentu mungkin ada yang tidak sempat atau terlupa membayarnya, mereka masih boleh membayar dalam aplikasi dengan niat dan akad untuk qada zakat berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA