Harga Msm Kekal Berdaya Tahan, Kukuh Pada Rm3,700 Hingga Rm3,950 Pada Februari - Mpoc

15/02/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Harga minyak sawit dijangka kekal berdaya tahan, dagangan melebihi RM3,700 satu tan pada Februari dengan paras rintangan RM3,950 satu tan susulan permintaan global yang rendah terhadap minyak sayuran.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), permintaan global yang rendah terhadap minyak makan telah mengakibatkan harga minyak sayuran utama mengalami penurunan ketara pada Januari 2024.

Dalam kenyataan pada Khamis, MPOC menjelaskan perkembangan harga minyak sawit pada awal 2024 juga mengukuhkan potensi anjakan bekalan minyak sawit global serta dinamik permintaan ke arah corak pertumbuhan defisit.

Pada suku terakhir 2023, eksport minyak kacang soya dari Brazil dan Argentina masing-masing merosot sebanyak 53 peratus dan 35 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, tambahnya.

“Pada masa sama, eksport kacang soya dari Amerika Syarikat (AS) turut mencatatkan penurunan sebanyak 22 peratus pada suku yang sama.

“Import kacang soya China turun tujuh peratus berdasarkan tahun kepada 9.82 juta tan, menunjukkan kelembapan permintaan kacang soya,” jelasnya.

MPOC memaklumkan walau bagaimanapun, prestasi kukuh harga minyak sawit telah direkodkan pada Januari, kebanyakannya didorong oleh pengeluaran rendah disebabkan monsun dan permintaan lebih tinggi menjelang bulan Ramadan, Tahun Baharu Cina dan perayaan Aidilfitri akan datang.

Stok minyak sawit Malaysia susut kepada paras terendah dalam tempoh enam bulan iaitu 2.02 juta tan, penurunan sebanyak 11.8 peratus, diikuti pengeluaran yang berkurangan kepada paras terendah dalam tempoh sembilan bulan iaitu 1.40 juta tan, sejajar dengan aliran inventori, tambahnya.

MPOC menjelaskan walaupun pengeluaran Januari 2024 turun 9.9 peratus bulan ke bulan kepada 1.40 juta tan namun, ia masih mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 1.59 peratus, menandakan tahap pengeluaran tertinggi bagi Januari sejak 2019.

“Ini menyokong jangkaan bahawa aliran pengeluaran minyak sawit yang direkodkan pada suku keempat 2023 akan berterusan sehingga suku pertama 2024.

“Pada suku keempat 2023, pengeluaran meningkat sebanyak 0.16 juta tan, daripada 5.11 juta tan kepada 5.27 juta tan berbanding angka pada tempoh sama 2022,” menurutnya.

MPOC menambah memandangkan tempoh Februari adalah lebih singkat iaitu dengan hanya 29 hari dan seiring dengan sambutan Tahun Baharu Cina, hal itu bermakna terdapat beberapa hari sahaja yang tersedia untuk penuaian.

Penggunaan domestik minyak sawit di Malaysia dijangka kekal teguh pada Februari disebabkan Ramadan akan menjelma selepas Tahun Baharu Cina, jelasnya.

Justeru, stok minyak sawit diunjurkan susut di bawah dua juta tan pada Februari, menurut badan itu.

Sementara itu, dalam tempoh terdekat, minyak sawit kehilangan daya saing harga disebabkan harga minyak campuran yang rendah, jelas MPOC.

Setakat 13 Feb, 2024 harga minyak sawit di Eropah mencatatkan dagangan pada premium masing-masing US$38, US$35 dan US$37 berbanding minyak kacang soya, bunga matahari dan biji sesawi.

Tebaran harga yang tidak menggalakkan itu berkemungkinan mendorong peniaga global memenuhi permintaan minyak sayuran mereka dengan minyak campuran.

Oleh itu, pemulihan harga dijangkakan untuk minyak campuran pada Februari dan Mac, manakala harga minyak sawit dijangka kekal tidak berubah.

-- BERNAMA