Kaji selidik Meta dapati Ramadan jadi peluang perniagaan jalin hubungan dengan pengguna

09/02/2023 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Meta Malaysia mendapati peningkatan promosi Ramadan yang lebih ketara menerusi rangkaian media sosial memberi peluang kepada pemasar untuk menambah baik pengalaman pengguna yang membuat pembelian di platform ini.

Ini adalah hasil dapatan daripada kaji selidik ‘Meta Ramadan Moment’ yang dijalankan dengan kerjasama YouGov untuk membantu perniagaan mewujudkan hubungan dan meneroka peluang berhubung dengan pengguna semasa Ramadan.

Kaji selidik ini bertujuan memberi panduan dan mencadangkan beberapa langkah untuk perniagaan mencapai pelanggan di pelbagai platform Meta.

Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan berkata kalangan pemasar boleh memanfaatkan keberkesanan pengiklanan yang disesuaikan di media sosial untuk menyediakan cara mudah kepada pelanggan bagi membeli keperluan Ramadan.

“Bekerjasama dengan pencipta dan gunakan video pendek untuk mempromosikan jenama anda dan membina hubungan yang lebih kukuh dengan bakal pelanggan dan pelanggan sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Kaji selidik itu turut mendapati 92 peratus daripada mereka yang berpuasa Ramadan ingin menyaksikan kandungan yang mempromosikan komuniti dan kebersamaan di Facebook dan Instagram, dengan 83 peratus mengikuti pencipta kandungan dalam talian yang mengilhamkan perbuatan sebenarnya.

Ia juga mendapati 70 peratus pembeli di Malaysia menghabiskan lebih banyak masa menonton video semasa Ramadan dan hari raya, dengan 45 peratus memperuntukkan lebih masa menonton video panjang dan 48 peratus bagi video pendek.

Pada Ramadan, dua daripada tiga pembeli menikmati pengalaman beli-belah yang diperibadikan melalui platform Meta dan ini bermakna pembeli Malaysia semakin mencari kategori produk yang berbeza, jelas kaji selidik itu.

Ia juga menekankan kepentingan mengukuhkan perhubungan melalui pemesejan perniagaan.

“Sejumlah 59 peratus responden menyatakan mereka berasa lebih berhubung dengan perniagaan atau jenama melalui pemesejan segera,” tambahnya dalam kenyataan.

Meta menjalankan kaji selidik dalam talian melibatkan 13,232 orang berumur 18 tahun dan ke atas di sembilan negara, berdasarkan responden yang membeli-belah dan berpuasa Ramadan.

-- BERNAMA