Niaga hadapan MSM diniagakan dalam kecenderungan menaik minggu depan

11/02/2023 10:46 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata komoditi itu berkemungkinan akan disokong oleh peningkatan dalam permintaan berikutan menjelangnya Ramadan tidak lama lagi.

"Kami akan menyaksikan permintaan yang kukuh dari Timur Tengah, Pakistan dan China menjelang musim Ramadan dan ini akan membantu menaikkan harga MSM pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu dagangan yang pendek disebabkan cuti umum, niaga hadapan MSM Malaysia ditutup bercampur-campur dan dipengaruhi oleh sekatan eksport minyak sawit Indonesia, permintaan yang kukuh, menjejaki kelemahan dalam pasaran minyak kacang Chicago serta kejatuhan harga minyak mentah.

Bagi asas mingguan, kontrak Februari 2023 meningkat RM81 kepada RM3,806 setan, Mac 2023 naik RM67 kepada RM3,900 setan, April 2023 melonjak RM80 kepada RM3,931 setan, Mei 2023 menokok RM70 kepada RM3,932 setan, Jun 2023 bertambah RM55 kepada RM3,919 setan dan Julai 2023 naik RM32 kepada RM3,888 setan.

Jumlah dagangan mingguan berkembang kepada 235,346 lot daripada 224,673 lot manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 159,313 kontrak daripada 168,241 kontrak pada akhir minggu lepas.

Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan naik RM100 kepada RM3,900 setan.

Pasaran niaga hadapan Malaysia ditutup pada Isnin, 6 Februari sebagai cuti gantian bagi Thaipusam yang disambut pada Ahad dan menyambung semula dagangan pada Selasa, 7 Februari.

-- BERNAMA