Niaga hadapan MSM cenderung menurun minggu depan
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan pada paras terendah minggu depan selepas merekodkan pengukuhan pada minggu baru berakhir, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata kekuatan harganya baru-baru ini mungkin menggalakkan aktiviti pengambilan untung.
"MSM dijangka diniagakan antara RM3,900 hingga RM4,200 satu tan minggu depan," katanya kepada Bernama.
Pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata dagangan MSM minggu depan akan didorong oleh pengumuman angka pengeluaran dan eksport bagi 20 hari pertama Februari.
Bulan aktif Mei 2023 telah melepasi RM4,000 satu tan buat kali pertama sejak 9 Jan lepas, didorong oleh perubahan sentimen kenaikan harga yang dicetuskan oleh dasar kerajaan Indonesia untuk menggantung permit eksport yang tidak digunakan bagi memastikan bekalan minyak masak domestik mencukupi.
"Kerajaan Indonesia sedang berusaha meningkatkan bekalan minyak masak domestik sebagai persediaan menghadapi lonjakan permintaan pada Ramadan," katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, minyak sawit menokok melebihi RM4,000 satu tan kepada paras tertinggi dalam tempoh lima minggu pada Khamis, selepas dirangsang oleh ringgit yang lemah berbanding dolar US dan tanda-tanda permintaan yang mula pulih.
Keuntungan baru-baru ini dalam minyak kacang soya yang menjadi saingannya turut menyokong sawit.
Dari minggu ke minggu, Mac 2023 lebih kukuh sebanyak RM195 kepada RM4,095 satu tan, April 2023 naik RM197 kepada RM4,128 satu tan, Mei 2023 melonjak RM199 kepada RM4,131 satu tan, Jun 2023 menokok RM190 kepada RM4,109 satu tan dan Julai 2023 meningkat RM195 kepada RM4,083 satu tan.
Sementara itu, Ogos 2023 berada pada RM4,054 satu tan.
Menjelang Rabu, kontrak Februari 2023 berakhir pada RM3,884 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan mengembang kepada 282,503 lot daripada 235,346 lot manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 159,937 kontrak daripada 159,313 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan adalah RM180 lebih tinggi pada RM4,080 satu tan.
-- BERNAMA