Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

20/02/2023 10:06 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad dan Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini disebabkan pemulihan dalam kenaikan harga yang berterusan sejak minggu lepas, kata seorang peniaga.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kebimbangan terhadap sekatan eksport minyak sawit Indonesia sehingga bulan Ramadan berakhir, lebih rendah daripada jangkaan pemulihan pengeluaran minyak sawit di Indonesia dan Malaysia serta peningkatan mandat biodiesel Indonesia telah dikaitkan dengan perlindungan jangka pendek dalam niaga hadapan MSM.

"Pemulihan dalam kenaikan harga minggu lepas dalam niaga hadapan kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan pemulihan dalam niaga hadapan minyak sawit olein yang ditapis, diluntur dan dinyahbaukan Dalian Commodity Exchange (DCE) turut membantu sentimen," katanya kepada Bernama.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata jangkaan eksport yang lebih tinggi seperti yang dilaporkan oleh juruukur kargo terus menaikkan sentimen lebih tinggi.

"Harga telah mencecah RM4,200 satu tan metrik dan paras rintangan seterusnya adalah pada RM4,350 setan metrik manakala paras sokongan pada RM4,000 satu tan metrik," katanya.

Pemilik dan Pengasas bersama Analitis Minyak Sawit yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM menuju ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh minggu kerana sentimen dagangan terus didorong secara menaik oleh pemulihan dalam eksport Malaysia, bekalan eksport yang terhad dari Indonesia menjelang bulan Ramadan dan perdagangan minyak kacang soya berkaitan lebih tinggi di DCE.

Data yang dikumpul oleh juruukur kargo Intertek Testing Services mendedahkan bahawa eksport minyak sawit bagi tempoh 1 hingga 20 Februari, 2023 meningkat 33.06 peratus kepada 784,105 tan metrik daripada 589,308 tan metrik dicatatkan dalam tempoh yang sama sebulan lepas.

Juruukur kargo Amspec berkata eksport meningkat 27.70 peratus kepada 723,482 tan metrik berbanding 566,561 tan metrik sebelumnya.

Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2023 meningkat RM26 kepada RM4,121 setan metrik, April 2023 naik RM34 kepada RM4,162 setan metrik, Mei 2023 menokok RM36 kepada RM4,167 setan metrik, Jun 2023 menambah RM39 kepada RM4,148 setan metrik, Julai 2023 bertambah RM37 kepada RM4,120 setan metrik dan Ogos 2023 melonjak RM32 kepada RM4,086 setan metrik.

Jumlah dagangan merosot kepada 50,555 lot daripada 62,494 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 159,005 kontrak daripada 159,937 kontrak semalam. 

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan merosot RM80 pada RM41,160 satu tan metrik.

--BERNAMA