Niaga hadapan MSM ditutup tinggi sedikit
Oleh Abdul Hamid A Rahman and Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) ditutup tinggi hari ini, menjejaki kenaikan dalam niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata seorang peniaga.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata harga niaga hadapan MSM juga disokong oleh momentum menaik dalam niaga hadapan olein sawit yang diperhalusi, diluntur dan dinyahbau dalam Dalian Commodity Exchange pada waktu Asia.
"Sentimen pasaran minyak sawit dilihat meyakinkan pada masa ini berikutan gabungan bekalan eksport minyak sawit Indonesia yang lebih rendah memihak kepada obligasi pasaran domestik yang lebih tinggi sehingga akhir Ramadan, dan pemulihan pengeluaran negatif di Malaysia serta Indonesia bulan ini,” katanya kepada Bernama.
Anilkumar berkata Persatuan Pengilang-Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan menganggarkan pengeluaran minyak sawit dalam tempoh 1-20 Feb berkurangan sebanyak 4.17 peratus berbanding penurunan 3.05 peratus bagi tempoh 1-15 Feb.
Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM ditutup tinggi sedikit selepas mengurangkan keuntungan besar-besaran.
"Situasi positif secara umum meningkatkan pasaran tetapi sentimen semakin menurun dengan ketiadaan data baharu," katanya.
Beliau berkata minyak sawit meningkat menghampiri harga tinggi dalam setahun pada awal sesi pertama, disumbangkan oleh keuntungan kukuh pada niaga hadapan minyak soya CBOT, dan eksport Malaysia yang bertambah baik pada Februari manakala pengeluarannya dilihat lebih rendah sebanyak tiga hingga lima peratus dalam 20 hari pertama bulan ini.
Data rasmi daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia akan dikeluarkan minggu ini meliputi tempoh 1-20 Feb.
Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2023 meningkat RM2 kepada RM4,099 satu tan, April 2023 naik RM4 kepada RM4,139 satu tan, Mei menokok RM5 kepada RM4,146 satu tan, Jun 2023 meningkat RM2 kepada RM4,124 satu tan, manakala Julai dan Ogos 2023 kekal tidak berubah masing-masing pada RM4,091 dan RM4,063 satu tan.
Jumlah dagangan naik kepada 60,727 lot daripada 41,170 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 163,164 kontrak daripada 160,190 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan turun RM20 kepada RM4,150 satu tan.
-- BERNAMA