Bekalan ayam, telur mencukupi menjelang Ramadan
GEORGE TOWN, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengesahkan bahawa bekalan ayam serta telur di Malaysia adalah mencukupi bagi menampung permintaan tinggi menjelang bulan Ramadan ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihak kementerian telah berbincang dengan penternak ayam dan pengusaha telur berkaitan masalah yang mereka hadapi antaranya kekurangan pekerja asing.
“Pihak kerajaan dengan kerjasama Imigresen, polis dan Kementerian Sumber Manusia akan memudah cara supaya pengusaha terbabit boleh mengambil lebih banyak pekerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Agrotourism dan Agroyouth di sini hari ini.
Beliau berkata kelonggaran syarat pengambilan pekerja yang dilaksanakan kerajaan antaranya melaksanakan pemutihan terhadap pekerja asing tanpa permit.
Mohamad berkata kenaikan harga makanan ternakan seperti soya dan jagung juga menjadi punca bekalan terjejas.
“Ketika ini, jagung dan soya masih lagi diimport. Buat masa ini, jagung yang ditanam di Malaysia tidak sesuai untuk dibuat makanan ayam namun kita sudah mula menanamnya di Perlis dan tahun ini, kita akan buat secara besar-besaran supaya tidak perlu lagi import... sebagai langkah mengawal harga ayam,” katanya.
-- BERNAMA