'Learning journey' cabang baharu buat Malaysia pikat pelancong seluruh dunia
Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA, 28 Feb (Bernama) -- ‘Learning journey’ atau pengembaraan sambil belajar merupakan antara cabang pelancongan baharu yang boleh dijana di Malaysia selepas pandemik COVID-19 bagi menarik lebih ramai pelancong terutama dalam kalangan pelajar di seluruh dunia.
Idea itu dilontarkan oleh seorang pemain industri pelancongan Singapura, Vincent Fong pada sesi ‘Meet & Greet’ bersama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang Leong Yu Man di Pejabat Pelancongan Malaysia Singapura, baru-baru ini.
Fong terlibat secara aktif dalam memberi pendedahan kepada pelajar melalui program pertukaran di seluruh dunia sebelum wabak pandemik itu.
“Bagi Pahang.. ini sesuatu yang boleh kita terokai. Apabila orang datang ke Pahang, mereka bukan sahaja dapat bersiar-siar tetapi ada perkara atau ilmu baharu yang boleh dipelajari. Ia boleh menjadi pasaran baharu yang boleh dimanfaatkan.
“Encik Fong ada betulnya. Pahang sudah mempunyai banyak produk eko-pelancongan. Kami akan meneruskan usaha ke arah itu,” kata Leong.
Kerajaan negeri mempunyai rancangan untuk membawa masuk ejen pelancongan dari Singapura untuk meneliti apa boleh ditawarkan kepada pelancong selepas pandemik COVID-19.
"Kita boleh bawa mereka melawat sebelum Ramadan," katanya.
Pada 2 Feb lepas, Leong berkata kerajaan Pahang mengunjurkan untuk menarik 13 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu pada tahun ini, meningkat berbanding 10.1 juta pada tahun lepas.
“Selepas pandemik COVID-19, 2023 adalah tahun berpotensi tinggi untuk membangunkan semula sektor pelancongan di Pahang.
“Singapura merupakan pasaran yang sangat penting bagi Pahang.
“Singapura menyumbang jumlah pelancong antarabangsa terbesar ke Pahang selepas China. Kami berharap dapat berhubung semula dengan pemain industri di sini termasuk syarikat penerbangan dan ejen pelancongan untuk membantu membawa pelancong ke Pahang,” katanya.
Semasa lawatannya, Leong mengadakan pertemuan dengan Scoot Airlines, syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, yang menyambung semula perkhidmatan penerbangan ke Kuantan pada November 2002 selepas terhenti selama dua tahun akibat wabak itu.
“Kami sedang membincangkan sebarang peluang untuk kami menjalin hubungan antara ejen pelancongan dan Scoot supaya mereka boleh mempromosikan Kuantan.
“Singapura boleh berfungsi sebagai hab penting bagi rakyat Malaysia yang tinggal di pantai timur dan Kuantan supaya boleh membuat perjalanan antarabangsa mereka ke Singapura dan pada masa yang sama Kuantan boleh berfungsi sebagai pintu masuk ke pantai timur untuk warga Singapura,” kata Leong.
Bagi Patricia Sim, penyokong pembelajaran merangkap pendapatan, dia berminat dengan cadangan untuk mengembalikan pelajar ke landasan yang betul untuk belajar daripada program penyerapan dan pertukaran.
“Pengembaraan sebegini adalah sumbangan semula jadi kepada pendapatan aliran masuk dan pelajar berkenaan akan memanfaatkan pelbagai aktiviti pelancongan sekali gus membawa penyelesaian tuntas kepada sektor pelancongan Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Sim berkata, satu cara untuk bergerak ke hadapan ialah dengan membentuk jawatankuasa antara Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, serta Kementerian Pendidikan yang terdiri daripada Kerajaan Negeri bersama Persatuan Pelancongan bagi setiap negeri.
“Ia bertujuan menerajui program pertukaran pelajar dan menjadikannya program jangka panjang yang mampan serta boleh berkembang ke peringkat seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA