Masjidil Haram mula guna AI untuk pastikan operasi menjelang Ramadan 1444H lancar

04/03/2023 12:19 PM

MEKAH, 4 Mac (Bernama) -- Masjidil Haram mula menggunakan sepenuhnya aplikasi kecerdasan buatan (AI) termaju untuk melancarkan operasi menerima kunjungan jemaah pada Ramadan tahun 1444 hijrah ini.

Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdulrahman Al Sudais berkata usaha pemodenan terhadap pelan operasi terbesar dalam sejarah Masjidil Haram ini diaktifkan selepas setahun kajian dan perancangan dijalankan.

Melalui operasi ini, para jemaah dapat memanfaatkan robot pintar dan aplikasi elektronik yang membantu memudahkan mereka melaksanakan ibadah, kata beliau lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Selain itu sebanyak 230 ruang solat di Masjidil Haram akan dibuka untuk menerima kunjungan jemaah sepanjang Ramadan tahun ini.

Katanya, semua pintu termasuk di bahagian Masjidil Haram yang telah menjalani proses naik taraf sebanyak tiga kali telah pun dibuka bagi memastikan kelancaran proses keluar masuk jemaah sepanjang bulan itu.

Pintu khas untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) turut disediakan pihak masjid bagi memudahkan urusan golongan itu.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Pentadbiran Am Operasi dan Penyelenggaraan Masjidil Haram Fares bin Mafouz Al Saedi berkata pihaknya telah meningkatkan kecekapan dan tenaga operasi aset Masjidil Haram untuk memastikan penyelenggaraan di masjid itu pada tahap optima, bagi mewujudkan suasana ang selesa dan selamat bagi jemaah yang mengunjungi Masjidil Haram.

-- BERNAMA