Orang ramai tidak digalakkan berbuka puasa di Lembah Sireh

08/03/2023 04:56 PM

KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak menyekat, namun tidak menggalakkan orang ramai untuk berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan iaitu di Lembah Sireh di sini sepanjang Ramadan tahun ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kawasan berkenaan merupakan milik persendirian dan dibimbangi pengunjung tidak menjaga kebersihan serta membuang sampah sesuka hati di lokasi itu.

“Ada pihak yang menyuarakan agar sesi berbuka puasa di kawasan berkenaan disekat, namun tindakan itu tidak tepat kerana kawasan berkenaan milik persendirian.

"Kita tidak boleh menyekat sekiranya ada pihak yang ingin berbuka puasa di situ (tepi sungai) kerana inginkan kelainan, namun sudah pasti menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menangani isu kebersihan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim di sini hari ini. 

Justeru, beliau berkata mana-mana pihak yang ingin berbuka puasa digalakkan berbuat demikian di lokasi yang disediakan kerajaan negeri iaitu Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV kerana terdapat kemudahan termasuk tempat solat.

Difahamkan, Madinah Ramadan yang akan bermula pada 23 Mac ini turut menyediakan ruang berkapasiti sehingga 3,000 pengunjung selain menyediakan menu berbuka sebanyak 800 hingga 1,000 peket setiap hari sepanjang Ramadan.

Sebelum ini, kawasan tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh menjadi tular setiap kali Ramadan selepas beratus pengunjung termasuk yang berkeluarga datang ke situ untuk berbuka puasa dengan membawa tikar dan juadah yang dimasak di rumah atau dibeli di bazar Ramadan berdekatan.

-- BERNAMA