173 premis tawar Menu Rahmah di Perak - Exco

08/03/2023 07:46 PM

IPOH, 8 Mac (Bernama) -- Setakat ini sebanyak 173 premis kedai makan di Perak telah menyertai program Menu Rahmah, sejak ia dilancarkan 31 Jan lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Woo Kah Leong.

Beliau berkata angka tersebut merupakan angka rasmi, namun yakin jumlah sebenar adalah lebih daripada itu kerana terdapat peniaga yang memperkenalkan Menu Rahmah, tetapi tidak berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri.

“Ini (peniaga perkenalkan Menu Rahmah tetapi tidak berdaftar) saya nampak dengan mata sendiri di Teluk Intan, Taiping dan Ipoh. Saya rasa 173 (premis atau kedai makan) adalah info rasmi, tetapi saya rasa dah lebih 200,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Rahmah Raya Aeon Co (M) Bhd di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDN Negeri Perak Datuk Kamalludin Ismail.

Woo juga berkata beliau mendapati kualiti Menu Rahmah di negeri ini berkulaiti, selain sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, Kamalludin berkata pihaknya belum menerima aduan daripada peniaga atau pelanggan melibatkan kualiti atau kuantiti Menu Rahmah, yang diperkenalkan di negeri itu.

“Jadi saya minta kalau ada yang kata kurang dari segi kualiti dan ambil kesempatan, diminta panjangkan kepada pihak KPDN sebab kita boleh tengok balik macam mana Menu Rahmah yang dikatakan kurang kualiti atau tidak berpatutan itu,” katanya.

Januari lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif Menu Rahmah dan setakat ini 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan, bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, Kamalludin berkata pihaknya dalam perancangan untuk mewujudkan Bazar Ramadan Rahmah di Ipoh dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), yang kini diperingkat mengenal pasti kawasan untuk program tersebut.

“Mungkin bila kita bersedia nanti kita akan maklumkan, kita akan buat satu dulu, mungkin antara terbesar di Ipoh, kita akan buat konsep Bazaar Ramadan Rahmah. Belum masa saya cakap lagi, mungkin bila dah sedia nanti kita akan buat perasmian,” katanya.

Salahuddin sebelum ini menyatakan KPDN sedang mengenal pasti lokasi sesuai dan berpotensi untuk dijadikan Bazar Ramadan Rahmah, di seluruh negara.

-- BERNAMA