Festival Ramadan Putrajaya 2023 pada skala lebih besar

09/03/2023 02:05 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP2023) akan berlangsung pada skala lebih besar bermula 22 Mac hingga 21 April ini, dengan sasaran menarik kehadiran 500,000 pengunjung. 

Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi satu kenyataan berkata penganjuran FRP2023 yang bertemakan “Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran”  melibatkan empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar dengan lokasi terlibat ialah di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan lima lokasi bazar Ramadan Putrajaya.

"FRP2023 bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan hari raya bagi menyemarakkan semangat Ramadan," menurut PPj.

Bagi komponen Bazar Ramadan, PPj berkata lebih 500 lot niaga disediakan di lima lokasi iaitu tapak bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Presint 3; tapak parkir Taman Seri Empangan, Presint 5; tapak parkir Pasar Awam Presint 8; tapak berhadapan Depo PPj, Presint 9 dan tapak Pasar Malam Presint 14, yang bermula dari 3 petang hingga 8 malam.

Bagi komponen Anjung Syawal pula, ia menawarkan lebih 200 penggerai yang menjual barangan persiapan raya, persembahan kerohanian serta penampilan selebriti hijrah dan pempengaruh tempatan.

Komponen Kiblat Walk pula menempatkan penggerai bagi jualan makanan dan minuman dan barangan kering, baju dan kuih raya.

Pengunjung turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan juadah berbuka di Laman Iftar yang terletak di antara perkarangan Kompleks PPj iaitu terdapat 12 gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka dari 3 petang hingga 12 tengah malam.

“Pengunjung boleh memilih untuk berbuka puasa dan moreh di Laman Iftar berkonsepkan outdoor cafe di Kompleks PPj dan padang berhadapan Kompleks PPj yang juga merupakan lokasi ikonik berbuka santai bersama rakan-rakan dan keluarga,” katanya.

"FRP2023 ini dijangka bakal memberi peluang perniagaan kepada penjaja dan peniaga kecil menambah pendapatan pascapandemik COVID-19," menurut PPj.

Pada tahun lepas, festival berkenaan telah berjaya menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung sepanjang Ramadan 2022 dengan hasil jualan kasar sebanyak RM3 juta.

-- BERNAMA