DMDI anjur Jualan Pra-Ramadan, Aidilfitri Melaka Madani

13/03/2023 07:03 PM

MELAKA, 13 Mac (Bernama) -- Badan bukan kerajaan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDl) akan menganjurkan Jualan Pra-Ramadan dan Jualan Pra-Aidilfitri Melaka MADANI 2023, masing-masing pada 21 Mac dan 20 April ini, bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Pengerusi DMDI Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata kedua-dua jualan yang berkonsepkan pasar tani itu bakal disertai kira-kira 50 peniaga termasuk pihak pasar raya dan diadakan di tapak pasar tani Bukit Katil di sini, 8 pagi hingga 6 petang.

"Sebanyak 6,000 kupon diskaun bernilai RM5 setiap satu bagi setiap program akan diedarkan kepada pengunjung dan kupon berkenaan boleh digunakan untuk pembelian daging dan ayam.

"Kita juga menyasarkan kira-kira 1,000 pengunjung bagi setiap penganjuran jualan berkenaan dan keseluruhan kutipan jualan bernilai RM400,000 bagi kedua-dua program yang dijalankan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata program itu, yang akan disertai pelbagai agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar, mengetengahkan pelbagai barangan ditawarkan pada potongan harga antara lima hingga 20 peratus.

Katanya pengunjung juga berpeluang membeli telur gred A pada harga RM10 sepapan dan minyak peket satu kilogram pada harga RM2.

Dalam pada itu, Mohd Ridhwan berkata DMDI juga bakal menganjurkan Bazar Mega 2023 Jualan Ramadan @ Bukit Katil selama 30 hari sempena bulan puasa di tapak sama bermula 23 Mac ini.

Beliau berkata separuh daripada kuota tapak perniagaan di bazar itu dibuka untuk golongan asnaf.

-- BERNAMA