Niaga hadapan MSM ditutup pada paras terendah dalam sebulan
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup pada paras terendah dalam sebulan hari ini berikutan sentimen pasaran yang tidak menentu, kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga niaga hadapan MSM yang rendah menjejaki kejatuhan pada niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) serta ketidaktentuan global.
"Kami mengesan paras sokongan pada RM4,000 setan dan paras rintangan pada RM4,200 setan," katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, bagaimanapun prestasi eksport minyak sawit Malaysia yang kukuh dalam tempoh 1-10 Mac telah menyekat kejatuhan yang lebih besar.
Beliau berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menganggarkan stok minyak sawit yang berakhir Februari adalah pada 2.11 juta tan, turun daripada 2.26 juta tan pada Januari 2023, tetapi meningkat daripada 1.51 juta tan pada Februari 2022.
Data pengeluaran MPOB mencapai 1.25 juta tan, meningkat daripada yang dianggarkan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) iaitu sebanyak 1.23 juta tan, turun sebanyak 9.35 peratus dari Januari tahun ini.
Beliau berkata senario menarik akan tiba memandangkan eksport minyak sawit Malaysia pada Mac menunjukkan lonjakan ketara sekitar 50 peratus dari tempoh 1-10 Feb, berikutan meningkatnya "obligasi pasaran domestik" (DMO) Indonesia ke atas minyak sawit, sehingga Ramadan ini.
"Stok minyak sawit Malaysia akan dilihat berada dalam tekanan pada masa hadapan kerana pengeluaran tidak meningkat dengan banyak," katanya.
Pada penutupan dagangan hari ini, kontrak Mac 2023 dan April 2023 masing-masing menurun sebanyak RM31 kepada RM4,139 setan dan RM4,080 setan. Kontrak Mei 2023 susut RM50 kepada RM4,043 setan dan Jun 2023 menyusut RM60 kepada RM4,000 setan.
Sementara itu, Julai 2023 turun RM58 kepada RM3,961 setan dan Ogos 2023 susut RM56 kepada RM3,924 setan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 83,904 lot daripada 65,195 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 251,129 kontrak daripada 170,198 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan berada pada RM4,250 setan.
-- BERNAMA