Program 'Ramadan Relief Serantau' Maybank bakal beri manfaat 7,000 keluarga di 11 negara

16/03/2023 02:43 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 16 Mac (Bernama) -- Perbankan Islam Kumpulan Maybank memulakan program tanggungjawab korporat utama tahunannya - Ramadan Relief Serantau - bernilai RM1.4 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 7,000 keluarga kurang berkemampuan di 11 negara, termasuk di Singapura.

"Kami komited terhadap inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, sama ada melalui program sosial atau penyelesaian kewangan kami dan program ini adalah satu daripadanya.

“Sememangnya, kami bersyukur kerana dapat meneruskan program ini dan berkongsi rezeki bukan sahaja dengan mereka yang memerlukan di Malaysia tetapi juga di seluruh negara anggota ASEAN dan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu...," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohamed Rafique Merican dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menggunakan dana Zakat, program itu bertujuan untuk mengagihkan bekalan makanan kepada keluarga yang kurang berkemampuan bagi memenuhi keperluan asas makanan ketika Ramadan. 

Sejak 2013, program berkenaan sudah memberi manfaat kepada lebih 96,000 keluarga dan menyumbang lebih RM16 juta untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan.

Buat Maybank Singapura, ia telah terlibat dalam program itu sejak 2017 dengan mengedarkan pek makanan serta menyediakan bantuan kewangan kepada lebih 1,000 keluarga di republik itu.

Tahun ini, ia telah bekerjasama dengan Makanan Percuma untuk Semua (FFFA) bagi  menyumbang pek makanan Ramadan kepada 200 keluarga berpendapatan rendah.

“Dengan kos yang semakin meningkat, banyak keluarga yang menghadapi masalah kewangan dan kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan FFFA pada tahun ini melalui sumbangan dana Zakat kami bagi membantu penerima sumbangan.

“Memandangkan bulan puasa semakin hampir, kami ingin meringankan sedikit beban kewangan  keluarga berpendapatan rendah dan memberikan sedikit keceriaan kepada mereka,” kata Ketua Pasukan Maybank Singapura untuk Deposit dan Pelaburan (Perbankan Islam) Sazzali Sabandi.

Sementara itu, Pengasas FFFA Nizar Mohd Shariff berkata pasukannya amat berbangga dengan sokongan yang diberikan oleh Maybank tahun demi tahun.

“Hanya melalui sokongan sedemikian, masyarakat boleh berkembang menjadi masyarakat yang lebih bersatu, menyaksikan mereka yang berhati murni bersama-sama melakukan perkara yang baik,” katanya.

Cek bernilai S$20,000 telah diserahkan kepada Duta FFFA Chris Jones oleh Ketua Retail Wealth & Branch Distribution Cawangan Maybank Singapura Lim Kok Boon untuk menyokong usaha membantu golongan rentan. 

Program itu sejajar dengan komitmen Maybank Islamic untuk melabur demi kebaikan bersama dan misi Kumpulan Maybank bagi ‘memanusiakan’ seluruh operasi perkhidmatan kewangan.

-- BERNAMA