KPDN laksana Op Terjah pantau harga di bazar Ramadan

16/03/2023 05:32 PM

KOTA BHARU, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan melakukan Op Terjah di bazar Ramadan bagi memantau peniaga yang menaikkan harga jualan secara tidak munasabah.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata menerusi Op Terjah pemeriksaan mengejut akan dilakukan sekiranya mendapat aduan daripada pengguna.

"Sekiranya ada aduan berhubung harga juadah tidak munasabah, kita akan menghantar pegawai dan anggota ke bazar tersebut bagi melakukan pemantauan sebelum tindakan susulan dilakukan.

"Bagi peniaga yang mengambil peluang menjual juadah dengan harga tidak sepatutnya tindakan nasihat akan diberi namun sekiranya mereka berdegil tindakan akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Klasiknya Raya di Mydin Tunjong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata selain Op Terjah pihaknya akan turut menempatkan pegawai dan anggota bagi  memantau bazar Ramadan di negeri ini.

"Bilangan anggota dan pegawai yang akan berada di bazar bergantung kepada saiz dan keluasan sesebuah bazar itu dan kebiasaannya kita akan menempatkan seramai lima hingga enam orang anggota.

"Berdasarkan pemantauan tahun lalu, terdapat beberapa gerai di bazar Ramadan yang didapati menjual juadah melebihi harga 50 peratus daripada harga bahan mentah," katanya.

Azlan berkata walaupun kementerian tidak boleh menentukan harga jualan barangan di bazar Ramadan namun sekiranya wujud unsur pengambilan untung secara berlebihan pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. 

"Tindakan ini perlu bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati," katanya.

-- BERNAMA