ATM lancar Tabung Ihya' Ramadan

17/03/2023 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan Tabung Ihya' Ramadan bagi mengumpul dana dan sumber kewangan untuk membiayai program serta aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang Ramadan. 

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan selain kutipan derma daripada individu dan badan korporat, pelancaran tabung berkenaan juga dapat menyemarakkan aktiviti syiar Islam di setiap masjid serta surau ATM.

Selain itu, ia juga akan meningkatkan kesedaran anggota untuk membuat persediaan fizikal dan spiritual bagi menyambut Ramadan tahun ini.

Menurut kenyataan itu, pelancaran tabung berkenaan telah disempurnakan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang di Masjid Khalid Al-Walid Kementah (MKWK) di sini hari ini. 

“Bagi tahun ini, MKWK telah menerima sejumlah RM13,253.60 hasil sumbangan berbentuk kupon dengan nilai minimum RM2 dan maksimum RM5 yang diagihkan kepada warga ATM di Markas ATM dan Markas Perkhidmatan Tentera Darat, Laut dan Udara.

"Selain itu, MKWK turut menerima sumbangan peribadi daripada individu iaitu Md Humayun Kabir Al-Haj Hakim bernilai RM84,200 bagi program bubur lambuk, iftar dan sahur di MKWK yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM97,453.60," menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, Affendi turut melaksanakan penyerahan sumbangan Tabung Zakat ATM berjumlah RM195,200 kepada panglima dan wakil panglima perkhidmatan bagi tujuan pembiayaan program serta aktiviti kerohanian masjid dan surau ATM di kawasan tanggungjawab masing-masing.

-- BERNAMA