JAWI siasat penganjuran 'Thai Hot Guy'

22/03/2023 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung penganjuran program melibatkan kumpulan dikenali sebagai ‘Thai Hot Guy’ yang dilaporkan akan berlangsung di sebuah premis di ibu negara pada 30 Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata penganjuran program itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam serta tatasusila masyarakat.

“Dalam suasana umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan yang dipenuhi dengan kemuliaan, penganjuran acara berkenaan adalah amat mendukacitakan serta tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata pihaknya juga telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan penganjuran acara itu yang akan diadakan di sebuah premis di Jalan Tun Razak di sini.

Ahad lepas, poster pelancaran acara itu yang menampilkan lelaki berpakaian wanita disiarkan di media sosial, sekali gus mengundang reaksi negatif pelbagai pihak.

-- BERNAMA