Pelajar Malaysia jadi mutawif bimbing delegasi PM Anwar tunai umrah

22/03/2023 10:19 PM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

JEDDAH, 22 Mac (Bernama) -- Seorang pelajar Malaysia di sini jelas teruja apabila dipilih sebagai mutawif bagi membimbing Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasinya yang dalam rangka lawatan rasmi ke Arab Saudi, melaksanakan umrah hari ini.

Mohamad Zarid Misbari, 25, pelajar jurusan syariah di Universiti King Abdul Aziz di sini ketika ditemui berkata beliau mengganggap peluang membimbing perdana menteri melaksanakan ibadat umrah sebagai satu pengalaman berharga.

Anak jati Bera, Pahang ini telah empat tahun melanjutkan pelajarannya di sini di bawah tajaan kerajaan Arab Saudi

“Dah lebih kurang dua tahun saya jadi mutawif untuk jemaah umrah, tetapi kali ni jemaah umrahnya level lain sedikit,” katanya yang dipilih sebagai mutawif melalui Konsulat Malaysia di Jeddah.

Perdana Menteri ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri  Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, 6.40 pagi waktu tempatan.

Sebaik tiba, beliau dan delegasi terus bergerak ke Mekah untuk melaksanakan ibadat umrah terlebih dahulu dan selesai mengerjakan ibadat sunat berkenaan kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan.

Anwar kemudiannya dijangka menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa hari ini.

Perdana menteri pada malam ini turut dijadual mengerjakan solat terawih malam pertama Ramadan di Masjidil Haram di Mekah.

Sepanjang lawatan rasmi tiga hari ini, perdana menteri juga dijadual menghadap Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi di Istana Al Salam.

-- BERNAMA