Tiada virus Marburg dikesan di Malaysia setakat ini - Dr Zaliha

25/03/2023 06:49 PM

SEGAMAT, 25 Mac (Bernama) -- Tiada penyakit virus Marburg dikesan di Malaysia setakat ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Bagaimanapun beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus membuat langkah pengawasan bagi mengurangkan risiko penularan virus berkenaan.

Katanya pengawasan dan pemantauan terutamanya di pintu masuk antarabangsa negara akan diperhebat selain mengikuti perkembangan virus berkenaan dari semasa ke semasa.

"Apabila ada berita mengenai virus seperti ini kita akan buat pemantauan khususnya kepada mereka yang datang dari Afrika. 

Namun, setakat ini belum ada apa-apa lagi yang dikesan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas Tinjauan Mesra Bazar Ramadan 2023 Peringkat Negeri Johor di Bazar Ramadan Sekijang, Taman Utama di sini hari ini.

Beliau menasihatkan kepada rakyat Malaysia yang baru pulang dari Afrika untuk membuat pemeriksaan di hospital dan klinik berhampiran sekiranya menunjukkan gejala kesihatan yang merosot.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malawi mengeluarkan amaran mengenai penyakit virus Marburg yang setakat ini telah meragut lima nyawa di wilayah barat laut Kagera, Tanzania.

-- BERNAMA