Bazar Ramadan Rahmah tawar pelbagai juadah bawah RM5
Oleh Razif Rosli
IPOH, 26 Mac (Bernama) -- Bazar Ramadan Rahmah di People's Park di sini menyajikan pelbagai juadah di bawah RM5 dengan menu berkualiti untuk para pengunjung membuat pilihan mendapatkan makanan atau minuman bagi persediaan berbuka puasa.
Tinjauan Bernama mendapati terdapat 20 gerai di bazar itu yang beroperasi bermula 3 petang hingga 7.30 malam dengan rata-rata makanan atau minuman dijual pada harga bawah RM5, seperti Roti John, meatball, popia dan murtabak.
Peniaga mi goreng Mohamad Izzat Hamdi Mohamad Norhisham, 23, berkata kewujudan bazar itu memberi peluang kepadanya untuk mencari rezeki dan menganggap inisiatif yang digerakkan kerajaan itu sangat membantu para peniaga kecil.
"Lokasi ini strategik namun saya lihat kena ada lebih banyak promosi dan hebahan dilakukan terhadap Bazar Ramadan Rahmah bagi menarik kehadiran orang ramai.
“Masyarakat sudah terbiasa apabila setiap kali tibanya Ramadan sudah ada lokasi bazar tumpuan yang akan mereka pergi, jadi bazar baharu sebegini mungkin ambil masa sikit (untuk diketahui)," katanya ketika ditemui di sini.
Bagi peniaga tortilla, Muhammad Ezzat Rosli, 25, berkata dia akan terus berniaga di situ hinggalah tamat bulan Ramadan dan berharap bazar itu akan mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung.
"Buat masa ini kami peniaga di sini pun ada buat promosi melalui aplikasi TikTok dan laman media sosial yang lain, cuma masih belum cukup berkesan dan kami akan gandakan usaha," katanya.
Seorang peniaga kuih-muih Mat Fazril Mat Rabu, 31, berharap lebih ramai pengunjung dapat datang ke bazar itu dan dapat rasai perbezaan dari segi harga dan kualiti juadah yang ditawarkan berbanding lokasi lain.
Sementara itu, seorang pengunjung, Helmi Zakaria, 38, berkata dia terpanggil untuk berkunjung ke bazar itu setelah dimaklumkan rakannya.
"Saya harap ia sedikit sebanyak mampu membantu peniaga di sini yang terdiri daripada peniaga kecil untuk menjana pendapatan mereka. Mungkin ramai yang masih belum mengetahui kewujudan bazar di People's Park ini dan sokongan orang ramai ditagih untuk pastikan bazar ini mendapat sambutan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung Azrilnizam Ismail, 39, berkata bazar itu merupakan satu inisiatif kepada seluruh masyarakat di Ipoh untuk menikmati juadah berbuka puasa yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.
"Ada pelbagai menu yang ditawarkan antaranya nasi berlauk, kuih-muih, oden dan mi goreng yang ditawarkan pada harga bawah RM5. Jika ada tidak mahu bersesak-sesak maka Bazar Ramadan Rahmah People's Park adalah pilihan selain tapak bazar sedia ada di sekitar Ipoh ini," katanya.
Pada 22 Feb lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bagi melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah di beberapa lokasi strategik sempena bulan Ramadan ini.
-- BERNAMA