PM adakan lawatan rasmi ke Kemboja esok
PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulung sehari ke Kemboja esok untuk memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan republik itu sejak 1957.
Ia adalah lawatan rasmi luar negara ketujuh bagi Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov tahun lepas.
Anwar dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 9.15 pagi dan disambut oleh Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam Datuk Dr Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada sidang media di sini hari ini berkata lawatan rasmi itu adalah atas undangan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Beliau berkata lawatan rasmi itu merangkumi sesi menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja dengan Anwar akan dirai dalam satu upacara sambutan rasmi di Peace Palace dan sejurus selepas itu, mengadakan pertemuan dengan Hun Sen.
"Pertemuan ini akan memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk mengutarakan serta membincangkan isu-isu dan kerjasama dua hala yang berkepentingan bersama dengan Perdana Menteri Kemboja.
"Di samping itu, kita juga boleh meneroka peluang kerjasama baharu bagi memperkukuhkan lagi jalinan hubungan kedua-dua negara," katanya.
Zambry berkata satu sesi sidang media bersama akan diadakan susulan pertemuan Anwar dengan Hun Sen bagi memaklumkan hasil perbincangan oleh kedua-dua pemimpin.
Beliau berkata semasa lawatan itu, Perdana Menteri akan menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Formal.
Katanya pemeteraian kedua-dua MoU akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan.
Zambry berkata dalam rangka program rasmi yang diatur oleh kerajaan Kemboja, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja Heng Samrin.
Selain itu, beliau berkata bersempena dengan bulan Ramadan, Anwar akan turut menghadiri majlis iftar khas yang dihoskan oleh Hun Sen bersama-sama golongan ilmuwan dan masyarakat Islam di Kemboja.
"Semasa majlis Iftar tersebut, akan berlangsung juga majlis penyampaian sumbangan 1,500 naskhah terjemahan al-Quran dalam Bahasa Khmer dan Bahasa Inggeris dari Malaysia kepada masyarakat Islam di Kemboja," katanya sambil menambah Perdana Menteri akan berlepas pulang sejurus selesai mengerjakan solat tarawih di Masjid Al-Serkal di Phnom Penh.
Zambry juga berkata lawatan itu mencerminkan hubungan dua hala akrab Malaysia dan Kemboja yang telah terjalin lebih enam dekad.
"Hubungan ini nyata mendatangkan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. Diharap agar ia terus mekar serta dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang mampan untuk kedua-dua negara di era pascapandemik," katanya.
Beliau berkata selain pemeteraian MoU, Perdana Menteri juga dijangka membincangkan beberapa isu lain seperti penipuan pekerjaan yang berlaku di republik itu.
"Kita akan memohon supaya Malaysia dan Kemboja dapat bekerjasama dalam mengatasi masalah yang berlaku ini. Sehingga kini, kita berjaya menyelamatkan 287 orang dalam kes-kes penipuan pekerjaan di Kemboja yang melibatkan rakyat Malaysia," katanya.
Dalam lawatan itu, Anwar akan diiiringi oleh Zambry, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Pada 2022, Kemboja merupakan rakan dagangan ke-58 terbesar Malaysia dan kelapan terbesar dalam ASEAN dengan nilai dagangan US$683.6 juta, peningkatan sebanyak 20.8 peratus berbanding yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Nilai eksport ke Kemboja pula meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada US$526.5 juta manakala import dari Kemboja merekodkan peningkatan 43.5 peratus kepada US$157.1 juta berbanding tahun sebelumnya.
-- BERNAMA