REZEKI JUAL 'TUAK' BERGANDA SETIAP RAMADAN
MARANG, 30 Mac (Bernama) -- Ramadan yang sinonim dengan musim panas, sememangnya bulan paling mencabar bagi umat Islam yang berpuasa, justeru juadah sejuk dan menyegarkan seperti air ‘tuak’ pastinya sangat didambakan, saat beduk dipalu menandakan masuknya waktu berbuka.
Bagi pengusaha tuak atau nira kelapa Ismail Madmin, 60, dari Kampung Batu Putih di sini, hasil jualannya berganda setiap kali bulan puasa, kerana minuman tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat setempat, berbanding hari biasa.
Ismail berkata setiap kali Ramadan, beliau dan isterinya Zaiton Abdullah, tidak pernah menang tangan menerima tempahan daripada pelanggan.
Beliau berkata setiap hari mereka akan keluar rumah seawal 8 pagi dan pulang selepas lebih dua jam kemudian, setelah selesai mengumpul air nira daripada pokok kelapa pandan yang ditanamnya.
“Sehari dua kali pakcik berulang ke kebun, iaitu pada waktu pagi dan petang untuk ambil air nira kelapa atau lebih dikenali sebagai air tuak, oleh orang Pantai Timur.
“Kalau hari biasa permintaan dalam 20 liter sehari, tetapi bulan Ramadan meningkat sekali ganda iaitu 40 liter dan dijual pada harga RM5 hingga RM6 seliter kepada pembekal,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Batu Putih di sini, hari ini.
Ismail berkata dia dan isterinya telahpun mengusahakan air nira kelapa selama lebih 30 tahun.
Beliau berkata selain diminum segar, tuak juga digunakan sebagai bahan utama dalam pemprosesan manisan kampung, yang digunakan untuk masakan.
“Kalau ikutkan permintaan lebih daripada 40 liter sehari, tetapi sumber kelapa dan kudrat pakcik yang terhad, hanya boleh sampai setakat itu sahaja.
“Satu lagi keistimewaan air nira kelapa di Kampung Batu Putih ini ialah ia kaya dengan mineral kerana kedudukannya di pinggir sungai,” katanya.
-- BERNAMA