SUNWAY MALLS LANCAR KEMPEN 'CAHAYA RAYA' BERSAMA KOMUNITI AUTISME
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Sunway Malls menyerikan musim lebaran kali ini menerusi kempen ‘Cahaya Raya’ bersama komuniti autisme dalam mengiktiraf dan menghargai golongan berkenaan bagi memperjuangkan penerimaan mereka dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls and Theme Parks, HC Chan, berkata pelancaran kempen ‘Cahaya Raya’ itu diilhamkan daripada tradisi memasang pelita pada 10 malam terakhir Ramadan yang dilihat akan membawa cahaya kegembiraan kepada pengunjung di setiap rangkaian pusat membeli belah berkenaan.
“Acara pelancaran ini juga dijadikan inklusif yang mungkin bagi golongan autistik, dibuktikan dengan pemberian palam telinga bagi mereka yang sensitif dengan bunyi, di samping penyediaan zon senyap untuk tetamu lebih selesa menikmati majlis pelancaran ini.
“Kita juga haruslah berusaha untuk menjadi inklusif yang mungkin dengan tahap kemajuan sebuah masyarakat dicerminkan oleh sifat keterbukaan dan penerimaan anggotanya, inklusif adalah satu teras dalam organisasi kami,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Cahaya Raya di Sunway Putra Mall, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin dan Pengerusi NASOM, Julian Wong.
Sementara itu, Yeoh berkata program bersama golongan autisme adalah usaha berterusan Sunway Malls bersama komuniti setempat untuk membantu mereka yang memerlukan dalam setiap perayaan.
“Sebelum ini, mereka membantu barisan hadapan kita semasa (pandemik) COVID-19 dan semasa raya dahulu mereka membantu satu keluarga di Sungai Penchala untuk mengubah rumah mereka dan kali ini (membantu) keluarga yang mempunyai anak-anak autisme.
“Jadi saya melihat ini adalah satu sumbangan yang bermakna kerana ini usaha berterusan, tambahan lagi kita tahu pusat membeli-belah adalah tempat komuniti berkumpul. Sekiranya setiap pusat membeli belah mengadakan program kesedaran ini, ia akan membantu masyarakat Malaysia,” katanya.
Tema ‘Cahaya Raya’ yang menyerikan kesemua pusat beli-belah Sunway mempersembahkan motif-motif Islamik pada gerbang masuk, ruang laluan dan pelbagai struktur yang menawan.
Arca dan karya 3D dengan unsur geometri, cahaya dan ruang juga dapat disaksikan serta elemen bulan dan bintang sebagai titik fokus pula menjadi simbol panduan dan diversiti.
Bagi memperkayakan lagi suasana ‘Cahaya Raya’, pengunjung dapat mengamati peragaan cahaya interaktif di setiap rangkaian pusat membeli-belah itu dengan inovasi hiasan digital tersendiri.
-- BERNAMA