LAZADA BAKAL SUMBANG PAKEJ RAYA MENERUSI KEMPEN 'MEMBELI UNTUK MEMBERI'
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sepanjang Ramadan ini, Lazada Malaysia bekerjasama dengan dua rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi kempen derma amal dan inisiatif impak sosial ‘Membeli Untuk Memberi’ yang berlangsung mulai 20 Mac hingga 21 April depan.
Lazada dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui kempen itu, perintis platform eDagang di Asia Tenggara berkenaan akan mendermakan kepada tabung amal Islamic Relief Malaysia dan MyFundAction menerusi setiap pesanan lengkap di platform Lazada.
“Dana amal tersebut akan membolehkan rakan NGO menyediakan dan mengagihkan set Pakej Raya yang mengandungi beras, gula, makanan dalam tin, produk kebersihan dan beberapa keperluan asas yang lain kepada lebih 3,000 penerima sumbangan di seluruh Malaysia termasuklah komuniti yang memerlukan di Program Perumahan Rakyat (PPR), rumah jagaan prihatin dan rumah anak yatim,” menurut kenyataan itu.
Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Alan Chan berkata Lazada berhasrat memberikan inspirasi ke arah amalan seperti bersedekah, bermurah hati dan beramal baik menerusi kempen berkenaan.
“Ramadan dan Aidilfitri merupakan bulan yang mulia, maka amalan baik seperti menderma, saling bantu-membantu dan refleksi diri amatlah digalakkan,” katanya.
Menurut Chan, Lazada memudahkan para pelanggan membuat persiapan raya dengan menawarkan pelbagai promosi untuk produk seperti baju raya, barangan runcit, gajet digital, barangan elektrik dan elektronik, produk kelengkapan rumah serta keperluan balik kampung.
“Ia diharapkan dapat memudahkan proses membeli-belah dalam talian dan membolehkan para pelanggan untuk berjimat menerusi pembelian pada harga yang berbaloi, di samping menyumbang kepada inisiatif amal Membeli Untuk Memberi,” katanya.
Sementara itu, Lazada menyampaikan set Pakej Raya kepada 60 penerima sumbangan ‘Membeli Untuk Memberi’ ketika majlis berbuka puasa bersama rakan NGO dan media di sini, pada Khamis (30 Mac).
Di samping itu, van dan lori Lazada Logistik juga telah dimobilisasikan ke seluruh negara untuk menghantar bantuan Pakej Raya kepada penerima sumbangan di Kuantan (Pahang), Nilai (Negeri Sembilan) serta Kajang dan Puchong (Selangor) pada bulan ini.
Pada bulan depan, sumbangan akan disampaikan kepada komuniti yang memerlukan di Tanah Merah (Kelantan); Batu Pahat dan Segamat (Johor); Kuala Nerang (Kedah); Melaka; Teluk Panglima Garang, Klang, Beranang, Lembah Subang, Shah Alam dan Gombak (Selangor); Setapak, Pandan Perdana dan Titiwangsa (Kuala Lumpur); Kota Kinabalu, Keningau, Kundasang dan Semporna (Sabah) serta beberapa lagi daerah di seluruh negara.
Menerusi kempen ‘Membeli Untuk Memberi’ Lazada berhasrat membantu seramai mungkin keluarga dan komuniti yang memerlukan dan ia pastinya dapat direalisasikan dengan sokongan dan penglibatan para pelanggan yang bermurah hati menyumbang ke arah inisiatif impak sosial dan derma amal tersebut.
-- BERNAMA