OP PANTAU: HAMPIR 20,000 PREMIS DIPERIKSA

31/03/2023 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini telah memeriksa 19,985 premis menerusi Op Pantau 2023.

Timbalan Menteri berkenaan Fuziah Salleh berkata 113 kes dikesan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah kompaun sebanyak RM17,000.

“Kita mahu pastikan rakyat mendapat hak mereka … sebab itu premis ini dipantau setiap hari,” katanya  selepas melancarkan Jualan Rahmah dan majlis iftar bersempena dengan Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan premis diperiksa itu, Negeri Sembilan mencatatkan kes kesalahan paling tinggi dengan 37 kes, diikuti Johor (21) dan Pulau Pinang (17).

Op Pantau 2023 dilaksanakan secara seragam dan berfokus bermula 23 Mac hingga 21 April ini dengan tumpuan operasi seperti di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti jualan dalam talian.

Pemeriksaan memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2023.

Sementara itu, Fuziah berkata Jualan Rahmah sempena Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berlangsung dari 25 Mac sehingga seminggu selepas Aidilfitri melibatkan 15 rakan strategik dan 11 kawasan Parlimen, dengan diskaun 10 hingga 30 peratus ditawarkan bagi barangan keperluan. 

-- BERNAMA