Sunway Pyramid Semarakkan Semangat Perayaan Menerusi Cahaya Raya 2023

04/04/2023 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Sunway Pyramid menganjurkan kempen ‘Cahaya Raya 2023’ sempena bulan Ramadan ini, dengan mengetengahkan ciri-ciri kerohanian, tradisional dan kebudayaan yang unik.

Sunway Pyramid dalam kenyataan hari ini memaklumkan kempen berkenaan, yang berlangsung sepanjang April hingga 1 Mei, mengambil inspirasi daripada nostalgia Hari Raya Aidilfitri.

“Dataran Orange Concourse di Sunway Pyramid akan dihiasi dengan struktur persis seni bina Arabesque yang melambangkan kepentingan diversiti dan keterangkuman dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Pengurus Besar Sunway Pyramid Jason Chin berkata kempen itu, dengan kerjasama Autsome dan Early Autism Project (EAP), menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap Gangguan Spektrum Autisme (ASD) dan menawarkan persekitaran inklusif, sokongan dan keistimewaan kepada komuniti autisme di pusat beli-belah itu.

“Kempen Cahaya Raya akan menyediakan ruang di dataran tersebut untuk komuniti autisme mendirikan reruai mereka, yakni bagi penjualan produk dan pameran karya seni mereka pada hari-hari terpilih,” katanya dan menambah Sunway Pyramid juga akan memperkenalkan ‘Sensory Walls’ atau dinding deria di kawasan-kawasan tertentu bagi memberi ketenangan dan keselesaan kepada komuniti autisme.

Sementara itu, Sunway Pyramid juga mempersembahkan Kamar Cahaya, iaitu zon interaktif yang membawa pengunjung menyusur sebuah ‘dunia’ berlatarkan keindahan cahaya. 

“Di sini, para pengunjung berpeluang untuk bergambar dan menyerikan lagi sambutan Hari Raya mereka.

“Bukan itu sahaja, pembeli juga boleh mengunjungi pelbagai reruai di dataran tersebut, termasuk Butik Rimba, iaitu jenama pakaian tradisional; Claire Organics, jenama kecantikan semula jadi yang membawakan produk penjagaan kulit dan badan yang serba mewah namun mampu milik,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, terdapat juga reruai EAP, iaitu perintis dalam rawatan Analisis Tabiat Gunaan (ABA) di Malaysia, yang mempamerkan karya seni warga komuniti autisme dan barangan.

Segala keuntungan yang dijana daripada reruai itu digunakan untuk menampung usaha berterusan mereka dalam meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penerimaan insan yang bergelar individu autisme, menurut kenyataan itu.

“Pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan meraih ganjaran di bengkel Brand dan reruai Sunway eMall.

“Pengunjung juga boleh menebus aneka hadiah seperti Set Sampul Raya, Set Jag Diamond dan Set Kutleri Premium sebagai ganjaran atas perbelanjaan yang dibuat di pusat beli-belah ini,” menurut kenyataan itu dan maklumat lanjut mengenai kempen Cahaya Raya boleh didapati di laman sesawang rasmi Sunway Pyramid.

-- BERNAMA