Senarai 30 Barangan Kawalan Sempena Aidilfitri Diumum 13 April - Salahuddin
KUALA SELANGOR, 4 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengumumkan 30 barangan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena perayaan Aidilfitri pada 13 April ini.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata senarai barangan itu turut termasuk bahan utama dalam pembuatan kuih raya.
”Harga kawalan ini (pelaksanaan) akan bermula pada minggu depan (13 April), selama dua minggu iaitu tujuh hari sebelum raya dan tujuh hari selepas raya.
“Ini langkah kerajaan untuk memastikan rakyat dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam keadaan kita masih dapat mengawal harga yang kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Rahmah Negeri Selangor di Dataran Esplanade Eco Grandeur Park, Puncak Alam, di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun harga barangan berkenaan masih belum diumumkan, pihaknya mendapati terdapat beberapa pasar raya besar telah menjual barangan keperluan asas dengan harga rahmah.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut memberi jaminan bahawa bekalan telur mencukupi sepanjang musim perayaan selain pihaknya akan terus melakukan pemantauan.
“Kita (KPDN) juga akan pantau dari hari ke hari. Bukan KPDN dengar begitu sahaja dan kita selesa sebaliknya pemantauan berterusan dilakukan. Selain itu, ayam juga tetap dijual mengikut harga siling, kita tidak akan naikkan,” katanya.
-- BERNAMA