Kerajaan Pusat Terus Beri Perhatian Kepada Pembangunan Kedah - Ahmad Zahid
JITRA, 5 April (Bernama) -- Pembangunan di Kedah akan terus diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan selain melaksanakan usaha memenuhi kekurangan yang ada, demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata usaha itu antara dilakukan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berperanan melaksanakan semua projek berkaitan portfolio kementerian itu.
"Jadi dasar kerajaan Pusat untuk menyantuni kekurangan permasalahan dan juga pembangunan yang diperlukan mengikut peruntukan yang telah ditentukan (oleh) KKDW, sebagai salah sebuah kementerian yang mempunyai agensi utamanya di Kedah iaitu KEDA.
"Saya mengambil pendekatan melakukan pemantauan terhadap prestasi bukan hanya terhadap berapa peratusan perbelanjaan yang telah dikeluarkan, saya (juga) mengkaji dari segi keberkesanan kepada kos sesuatu projek itu, rakyat mesti merasainya," katanya pada sidang media Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW, di Masjid Al-A’la, sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ahmad Zahid berkata keutamaan KKDW bukan sahaja kepada usaha tradisional kementerian itu seperti menyediakan bekalan api dan air di kawasan pedalaman dan infrastruktur luar bandar, tetapi juga memberikan tumpuan kepada pembangunan insan seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Kita melakukan peningkatan kemahiran, pemahiran semula, untuk memberikan peluang pekerjaan kepada anak kumpulan sasaran.
“Kami juga bersama-sama dengan kerajaan negeri mendirikan rumah di tanah, sama ada atas kerjasama kerajaan ataupun tanah yang dibeli oleh Felda sendiri," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata keserasian hubungan antara kerajaan negeri Kedah dengan kerajaan Pusat mesti diwujudkan dan sekiranya terdapat jurang, usaha untuk mendekatkan jurang itu perlu dilakukan dalam usaha memenuhi kepentingan rakyat.
Beliau berkata polisi dan jaringan kerajaan perlu tercermin dari aspek kerjasama dan bukan hanya sekadar retorik menerusi ucapan politik semata-mata.
"Bukan hanya ucapan politik tetapi bentuk kerjasama, itu yang saya laksanakan dan tentunya menjadi dasar kerajaan Pusat, asalkan kerajaan negeri (mengadakan) 'arrangement' dengan kerajaan Pusat dan kita amat menghormati. Maknanya ini melangkaui pendirian politiklah, kita ketepikan perbezaan warna (politik)," katanya.
Terdahulu, semasa berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik sebagai Pengerusi KEDA yang baharu.
Hampir 1,500 tetamu terdiri daripada anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat diraikan pada majlis itu.
-- BERNAMA