Polis Tahan Lima Lelaki Dipercayai Serang Peniaga Di Kulai

06/04/2023 02:28 PM

KULAI, 6 April (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki warga tempatan sekitar daerah ini, semalam, dipercayai terlibat dalam menyerang seorang peniaga sehingga mendatangkan kecederaan di Jalan Merbau, Bandar Putra, di sini, Selasa lepas. 

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata suspek yang 18 hingga 47 tahun itu ditahan sekitar Taman Sentosa, Bandar Putra dan Jalan Indahpura, dekat sini, antara 1.30 tengah hari semalam hingga 10.30 malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian pada 10.45 malam itu, mangsa berusia 41 tahun bersama tiga rakannya yang berniaga di bazar ramadan di Jalan Merbau, telah didatangi empat lelaki untuk berbincang berkenaan perniagaan mercun di kawasan itu.

“Bagaimanapun, ketika perbincangan, seorang daripada empat lelaki tidak dikenali telah bertindak menendang mangsa di bahagian dada sehingga terjatuh, yang kemudiannya diserang dengan senjata dipercayai sebatang kayu, selain dipukul oleh beberapa orang lain ketika hendak menyelamatkan diri.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, lebam di muka, tangan kiri dan kanan serta mengalami sakit di bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Tok, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai serta kehilangan wang berjumlah RM5,405 dipercayai dirampas oleh individu-individu tersebut semasa kejadian.

Beliau berkata ketika serbuan dan tangkapan, polis turut merampas sebatang kayu dan sehelai baju.

“Hasil siasatan awal, kesemua lima lelaki tersebut mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan motif kejadian dipercayai perselisihan faham. Semua ditahan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan direman selama empat hari mulai hari ini hingga Ahad (9 Apr),” kata Tok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, katanya.

-- BERNAMA