Kebergantungan Terhadap Orang Tengah Perlu Dikurangkan - Pm Anwar
PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebergantungan terhadap orang tengah perlu dikurangkan dalam usaha memastikan harga barangan dalam pasaran negara ini dapat dikawal.
Ditemui pada program jualan Agro Rahmah di Bazar Ramadan, Presint 3 di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata harga barang boleh dikawal sekiranya orang tengah mengambil keuntungan yang berpatutan.
Mengambil contoh harga barang pada jualan Agro Rahmah itu, beliau berkata harga sayur dan barangan basah yang dijual adalah lebih murah kerana tidak melalui orang tengah.
“Kita tengok kalau sayur hijau lebih murah, kerana tidak melalui orang tengah dengan keuntungan berlebihan…jadi harga jauh lebih rendah dari pasar biasa.
“Begitu juga harga barang makanan lain seperti buah, ikan dan udang… Kalau dapat kurangkan peranan orang tengah atau orang tengah ambil keuntungan berpatutan, harga boleh dikawal,” katanya.
Ditanya mengenai inisiatif kerajaan memerangi orang tengah, beliau berkata kewujudan pasar tani dan program Agro Rahmah adalah antara pendekatan yang dilaksana bagi mengawal harga barang.
“Kalau kita bawa hasil itu dari ladang terus ke pasar, harga itu jauh lebih rendah… barang-barang import itu kita tidak dapat kawal tetapi hasil dalam negeri boleh dikawal,” katanya.
Anwar turut mengumumkan sewa gerai bazar Ramadan di Presint 3 dikurangkan daripada RM1,000 kepada RM850 bagi memberi keuntungan lebih kepada peniaga.
“Ini (pengurangan) memberi peluang kepada mereka (peniaga) mendapat keuntungan lebih," katanya.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
-- BERNAMA